PBB beri bayangan tambah calon wanita PRN Sarawak
PBB beri bayangan tambah calon wanita PRN Sarawak
KUALA LUMPUR: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberi bayangan akan menambah calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan datang.
Naib Ketua Pergerakan Wanita PBB, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkembangan itu dimaklumkan Ketua Penerangan parti, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mendedahkan kemungkinan lebih ramai wanita diketengahkan sebagai calon.
Katanya, walaupun beliau sendiri belum menerima maklumat terperinci mengenai perkara itu, cadangan berkenaan amat dialu-alukan bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam kepemimpinan politik negeri.
“Saya baru dengar tadi Ketua Penerangan parti kita sudah berkongsi mengenai penambahan wanita kali ini.
“Insya-Allah beliau lebih mengetahui daripada saya. Saya harapkan begitu. Saya hanya dapat bercakap dan war-warkan supaya lebih ramai wanita,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan BernamaTV di Wisma Bernama, di sini, Khamis lalu.
Nancy berkata, berdasarkan maklumat dikongsikan, calon wanita turut termasuk dalam kelompok kira-kira 10 peratus muka baharu yang bakal diketengahkan PBB.
Beliau sebelum ini turut menyuarakan pandangan bahawa perwakilan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak wajar ditingkatkan sekiranya cadangan penambahan 17 kerusi DUN diluluskan.
Langkah itu dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada wanita menyertai arena politik dan memainkan peranan dalam kepemimpinan negeri.
Ketika ini, hanya lima daripada 82 kerusi DUN Sarawak disandang wakil rakyat wanita.
Sementara itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam mengumumkan pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa Isnin ini, 26 Oktober, bagi memberi laluan kepada PRN ke-13.
Pengumuman itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.-SAHIH
#PRNSarawak #PBB #NancyShukri #CalonWanita
