Koperasi pacu keamanan sejagat, perkasa lebih 7.3 juta anggota
Koperasi pacu keamanan sejagat, perkasa lebih 7.3 juta anggota
Kuala Lumpur: Gerakan koperasi perlu terus diperkasakan sebagai ejen pembangunan ekonomi dan keamanan sejagat selaras dengan tema sambutan Hari Koperasi Antarabangsa (CoopsDay) Ke-104 yang diraikan hari ini.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, berkata sambutan yang diadakan pada setiap Sabtu pertama Julai itu menjadi pengiktirafan terhadap sumbangan gerakan koperasi dalam membina masyarakat yang lebih adil, inklusif dan sejahtera.
Menurutnya, tema ‘Koperasi untuk Keamanan Sejagat’ (Cooperatives for a Peaceful World) melambangkan komitmen koperasi dalam memperkukuh keamanan menerusi keadilan sosial, keterangkuman, kepercayaan serta pembangunan ekonomi yang saksama.
“Di seluruh dunia, lebih satu bilion anggota daripada tiga juta koperasi berkongsi aspirasi membina masyarakat yang lebih harmoni menerusi amalan berkoperasi.
“Di Malaysia pula, ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi negara yang menaungi lebih 7.3 juta anggota akan terus memperkukuh prinsip, nilai dan jati diri koperasi sebagai asas kepada keamanan sejagat,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Koperasi Antarabangsa, hari ini.
Beliau berkata, gerakan koperasi bukan sekadar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, malah memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat, meningkatkan kesejahteraan komuniti serta mewujudkan peluang pembangunan yang lebih mampan.

Katanya, nilai kerjasama, kebersamaan dan saling membantu yang menjadi teras gerakan koperasi perlu terus diperkasakan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh warga koperasi di negara ini terus menghayati prinsip koperasi serta memperkukuhkan budaya kerjasama demi kemajuan negara.
Sambutan Hari Koperasi Antarabangsa Ke-104 tahun ini turut membawa slogan “Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara MADANI”, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan gerakan koperasi dalam menyokong pembangunan sosioekonomi negara dan keamanan sejagat.-SAHIH
