Kereta terbabas, rempuh gerai buah dan tiang elektrik
Kereta terbabas, rempuh gerai buah dan tiang elektrik
TEMERLOH, – Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah gerai menjual buah-buahan dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Temerloh-Mentakab, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.05 petang itu, mangsa berusia 46 tahun mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kini menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Temerloh.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.24 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu sebuah Proton Wira Aeroback dari arah Temerloh menuju ke Mentakab sebelum dipercayai hilang kawalan apabila tiba di lokasi kejadian.
“Akibat hilang kawalan, kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan lalu merempuh sebuah gerai menjual buah-buahan.
“Kereta itu kemudian melanggar tiang elektrik sebelum merempuh sebuah lagi Proton Wira Aeroback yang diletakkan berhampiran gerai berkenaan menyebabkan bahagian hadapan dan belakang kenderaan mangsa mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Temerloh oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata, ketika kejadian keadaan jalan adalah lurus dengan dua lorong dua hala, permukaan jalan rata dan kering selain cuaca berada dalam keadaan baik.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan ketika memandu,” katanya.
Mohd Nasyim berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).
Katanya, rakaman percakapan pemandu akan diambil bagi membantu siasatan, manakala saksi yang melihat kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat kepada polis.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu – SAHIH
