Harga Musang King jatuh serendah RM8 sekilogram akibat lambakan hasil di pasaran
Harga Musang King jatuh serendah RM8 sekilogram akibat lambakan hasil di pasaran
JERANTUT – Harga durian Musang King di sekitar daerah ini dilaporkan menjunam sehingga serendah RM8 sekilogram berikutan lambakan bekalan buah pada musim kali ini.
Keadaan itu berlaku apabila pengeluaran durian Musang King dari kebun-kebun di sekitar Pahang, khususnya di daerah Jerantut, meningkat secara luar biasa sehingga menyebabkan penawaran jauh melebihi permintaan pasaran.
Seorang peniaga durian di bandar ini, Mokhtar Omar, berkata harga jualan Musang King kini berada pada paras antara RM8 hingga RM20 sekilogram bergantung kepada gred dan kualiti buah.
Menurutnya, peniaga terpaksa menurunkan harga bagi mengelakkan kerugian akibat buah yang tidak terjual akan rosak.
“Musim kali ini memang luar biasa. Bekalan terlalu banyak dan peniaga terpaksa menjual pada harga lebih rendah untuk menghabiskan stok.
“Kejatuhan harga paling ketara melibatkan buah tanpa gred, buah yang merekah serta durian yang gugur lewat petang. Namun Musang King Gred A masih mampu mengekalkan harga sekitar RM20 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata, fenomena dipercayai berlaku kerana banyak pokok Musang King yang baru matang dan mula mengeluarkan hasil pada tahun ini turut menyumbang kepada peningkatan bekalan di pasaran.
Sementara itu, peraih durian di Kampung Damak, Zulkifly Mahmud berkata beliau kini lebih menumpukan kepada pembelian durian kampung premium kerana masih mampu memberikan sedikit keuntungan.
“Jika Musang King dibeli daripada pekebun pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram sekalipun, keuntungan yang diperoleh amat tipis kerana harga pasaran semasa terlalu rendah,” katanya.
“Saya mendapat bekalan Musang King yang diterima setiap hari daripada pekebun sekitar kampung ini kurang daripada satu tan dan kebanyakannya dijual kepada pelanggan yang membuat tempahan awal.,” katanya.
Seorang pengusaha durian Musang King di Sungai Kiol, Lai Yap Wai berkata musim gugur buah yang bermula awal minggu lalu di kebun-kebun sekitar daerah ini telah menyebabkan lambakan bekalan dan seterusnya menekan harga pasaran.
“Saya tidak boleh menjual pada harga melebihi RM25 sekilogram seperti musim sebelum ini kerana Musang King terlalu banyak dijual di merata tempat dan persaingan antara pekebun serta peniaga semakin sengit.
“Sejak awal minggu lalu, saya menjual Musang King Gred C dan D pada harga RM8 sekilogram, manakala Gred A sekitar RM15 sekilogram,” katanya.-SAHIH.
