Tutup pangkalan haram, muncul pula laluan baharu
Tutup pangkalan haram, muncul pula laluan baharu
RANTAU PANJANG: Tindakan pihak berkuasa menutup pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand belum mampu menghentikan sepenuhnya kegiatan rentas sempadan apabila laluan baharu terus diwujudkan pihak tidak bertanggungjawab.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang, Siti Khadijah Hamzah berkata, keadaan itu menjadi antara cabaran terbesar dihadapi agensi penguatkuasaan dalam usaha membendung kegiatan keluar masuk melalui laluan tidak sah di Kelantan.
Katanya, walaupun pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan, kegiatan berkenaan sukar dibanteras sepenuhnya berikutan kemunculan laluan alternatif.
“Cuma nak membendung 100 peratus itu susah. Mereka masih lagi mewujudkan laluan baharu, jadi cabaran paling utama kita adalah di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, baru-baru ini.
Siti Khadijah berkata, kegiatan rentas sempadan turut menunjukkan perubahan apabila pergerakan mula beralih menggunakan laluan laut.
Menurutnya, perkembangan itu memerlukan kerjasama lebih erat antara agensi keselamatan dan penguatkuasaan darat serta maritim bagi memastikan keselamatan sempadan negara terus terpelihara.
Katanya, AKPS ketika ini mengawal lima pintu masuk sah di Kelantan iaitu Pengkalan Kubor, Tumpat; Rantau Panjang, Pasir Mas; Bukit Bunga, Tanah Merah; Pelabuhan Tok Bali, Pasir Puteh dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bidang kuasa AKPS hanya meliputi pintu masuk yang diwartakan, manakala kawasan lain berada di bawah tanggungjawab agensi penguatkuasaan berkaitan.
Antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Dalam perkembangan sama, Siti Khadijah berkata, kegiatan ‘motor penambang’ yang membawa penumpang dari Thailand tanpa melalui pemeriksaan imigresen turut menjadi cabaran kepada pihak berkuasa.
Katanya, penunggang motosikal terbabit dipercayai menghantar penumpang sehingga kawasan tertentu berhampiran Kompleks ICQS Rantau Panjang sebelum berpatah balik ke Thailand.-SAHIH
#SempadanNegara #AKPS #RantauPanjang #PangkalanHaram
