Baki penerima bantuan RM1,000 dibayar terus ke akaun bank
Baki penerima bantuan RM1,000 dibayar terus ke akaun bank
GEORGE TOWN: Baki pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang layak menerima Bantuan Khas Kewangan RM1,000 akan mendapat bayaran terus ke akaun bank masing-masing sebelum sambutan Deepavali.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pembayaran menerusi kaedah Pemindahan Dana Elektronik (EFT) itu akan dilaksanakan pada fasa seterusnya selepas penyerahan bantuan secara fizikal kepada penerima terpilih di beberapa zon.
Katanya, kerajaan komited memastikan semua pemandu yang memenuhi syarat kelayakan menerima bantuan berkenaan dalam tempoh ditetapkan.
“Bagi fasa pertama, bantuan diserahkan secara langsung kepada penerima yang layak di beberapa zon dengan Pulau Pinang menjadi lokasi majlis kedua selepas pelancarannya di Putrajaya pada 14 Oktober lalu.
“Seramai 700 pemandu teksi dan kereta sewa di Pulau Pinang berjaya dihimpunkan sebagai wakil simbolik untuk menerima bantuan secara langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di sini, Sabtu lalu.
Anthony berkata, pemandu perlu memastikan semua syarat kelayakan dipenuhi bagi melancarkan proses saringan dan pengesahan maklumat penerima.
Menurutnya, antara syarat utama ialah mempunyai Kad Pemandu serta lesen atau permit kenderaan (VP) yang aktif, selain Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang masih sah.
Katanya, pemandu juga dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti hebahan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak.
“Kerjasama dan penyelarasan antara agensi di bawah Kementerian Pengangkutan penting bagi memastikan proses saringan data penerima dilaksanakan secara telus serta adil,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu mengumumkan Bantuan Khas Kewangan secara sekali beri sebanyak RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.
Bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan golongan berkenaan yang berdepan peningkatan kos sara hidup.-SAHIH
#BantuanRM1000 #PemanduTeksi #AnthonyLoke #Belanjawan2027
