Akta Pengantaraan 2012 bakal dipinda, perkukuh penyelesaian konflik komuniti
Akta Pengantaraan 2012 bakal dipinda, perkukuh penyelesaian konflik komuniti
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara sedang meneliti cadangan pindaan Akta Pengantaraan 2012 bagi menyediakan asas perundangan lebih jelas dalam memperkukuh pelaksanaan perkhidmatan Mediasi Komuniti di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, langkah itu perlu memandangkan skop akta berkenaan ketika ini tidak merangkumi secara khusus pengoperasian Mediasi Komuniti oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Katanya, JPNIN diminta mengadakan mesyuarat dan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti penambahbaikan termasuk keperluan meminda akta berkenaan.
“Maka dengan ini saya memohon JPNIN untuk mengadakan satu mesyuarat dan kajian untuk meneliti cadangan penambahbaikan, termasuk cadangan pindaan terhadap akta yang lebih untuk perkhidmatan mediasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Sosial Kolaboratif Mediasi Komuniti Perumahan Awam Seri Kota di sini, Sabtu lalu.
Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Aaron berkata, JPNIN bersama Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional turut diminta menjalankan kajian perbandingan dengan beberapa negara yang mempunyai kerangka perundangan khusus berkaitan mediasi komuniti.
Menurutnya, negara terbabit termasuk Singapura menerusi Community Mediation Centres Act 1997, India melalui Mediation Act 2023 dan Sri Lanka menerusi Mediation Boards Act 1988.
Katanya, kajian itu penting bagi meneliti aspek kuasa, fungsi, pentauliahan mediator, proses mediasi serta perlindungan kepada pihak yang terbabit.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan akan memperluaskan jaringan Pusat Mediasi Komuniti menerusi penubuhan 12 pusat baharu tahun ini di lokasi strategik seluruh negara.
Antara lokasi dikenal pasti ialah Kota Kinabalu, Sabah; Miri, Sarawak; Pontian, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu dan Shah Alam, Selangor.
Menurutnya, penubuhan pusat berkenaan merupakan kesinambungan cadangan resolusi Bengkel Strategik Pembangunan Inisiatif K2K anjuran Think City bersama agensi kerajaan dan pihak berkepentingan pada 2024.-SAHIH
#MediasiKomuniti #AktaPengantaraan #PerpaduanNegara #AaronAgoDagang
