Keluarga wanita dibunuh suami bakal terima bantuan KPWKM
Keluarga wanita dibunuh suami bakal terima bantuan KPWKM
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti bentuk bantuan bersesuaian kepada keluarga wanita yang maut dipercayai dibunuh suaminya di sebuah kuarters kakitangan kerajaan di Nilai, Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perhatian utama kementerian ketika ini adalah memastikan kebajikan anak-anak mangsa terbela, selain mengenal pasti keperluan keluarga yang terkesan akibat tragedi berkenaan.
Katanya, kementerian memahami keadaan emosi keluarga mangsa yang masih bersedih dan memerlukan ruang untuk menerima kehilangan insan tersayang.
“Kebiasaannya, apabila seseorang berdepan situasi seperti ini, mereka tidak mahu bercakap dengan sesiapa dan memerlukan masa untuk bersedih.
“Jadi, berikan mereka ruang dan ketenangan terlebih dahulu. Namun, kami sentiasa bersedia untuk membantu menguruskan hal ehwal keluarga berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Empowerus 2026 di sini, Sabtu lalu.
Nancy berkata, kementerian juga terus mempergiat usaha memperkasakan wanita melalui perkhidmatan kaunseling, meningkatkan kesedaran mengenai hak di sisi undang-undang serta membantu mereka mencapai kebebasan kewangan.
Menurutnya, wanita yang mempunyai pendapatan sendiri akan lebih yakin terhadap kemampuan diri, sekali gus mengurangkan risiko mereka dipergunakan atau dieksploitasi pihak tertentu.
“Kita mahu mereka berdikari dari segi kewangan supaya lebih yakin dengan diri sendiri dan tidak mudah dipergunakan oleh pihak yang mahu mengambil kesempatan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nancy berkata, penggunaan Talian Kasih menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 104,784 penggunaan direkodkan setakat Oktober tahun ini berbanding 78,437 bagi tempoh sama tahun lalu.
Katanya, sebanyak 5,278 kes keganasan rumah tangga turut direkodkan di seluruh negara setakat Ogos tahun ini.-SAHIH
#NancyShukri #KPWKM #KeganasanRumahTangga #TalianKasih
