Agong tegur salah guna AI untuk hina, jatuhkan maruah individu
Agong tegur salah guna AI untuk hina, jatuhkan maruah individu
SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegur tindakan segelintir pihak menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gambar dan video palsu bertujuan menghina serta menjatuhkan maruah individu lain.
Seri Paduka Baginda bertitah, perbuatan sedemikian bukan sahaja mencerminkan kehilangan adab, malah boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Baginda bertitah, adab bukan sekadar kesopanan dalam pergaulan, sebaliknya menjadi asas penting dalam memelihara maruah negara serta hubungan sesama masyarakat.
“Ada pula yang menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan untuk menghasilkan gambar-gambar dan video palsu dengan niat untuk menghina dan memalukan seseorang.
“Ingatlah, bahawa di sebalik setiap nama dan wajah yang dibenci dan dicaci, ada insan yang mempunyai keluarga, maruah dan perasaan,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-105 bagi Sidang Pertama di sini, Sabtu lalu.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sesuatu berita tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihannya.
Baginda bertitah, penyebaran maklumat tidak tepat boleh menimbulkan salah faham, sekali gus menggugat hubungan baik dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Menurut baginda, masyarakat perlu lebih matang ketika berkomunikasi, khususnya menerusi platform media sosial yang kini menjadi medium utama untuk berkongsi pandangan dan maklumat.
Baginda turut mengingatkan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat, namun kebebasan itu tidak seharusnya digunakan untuk menghina, mencaci atau merendahkan orang lain.
Sehubungan itu, baginda menegaskan sebarang teguran dan perbezaan pandangan perlu disampaikan secara berhemah serta penuh tanggungjawab.
Baginda bertitah, kebebasan bersuara perlu sentiasa disertai adab dan rasa hormat demi memastikan perpaduan serta keharmonian masyarakat terus terpelihara.-SAHIH
#SultanIbrahim #YangDiPertuanAgong #KecerdasanBuatan #UiTM
