Suhu cecah 40 darjah, nelayan pantai paling terkesan El Nino
Suhu cecah 40 darjah, nelayan pantai paling terkesan El Nino
KOTA BHARU: Nelayan pantai dijangka antara golongan paling terkesan sekiranya fenomena El Nino menyebabkan suhu meningkat sehingga 40 darjah Celsius, sekali gus mendorong ikan bergerak lebih jauh ke tengah laut.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan itu bakal menyukarkan nelayan pantai mendapatkan hasil tangkapan berikutan keterbatasan keupayaan bot untuk beroperasi di kawasan laut dalam.
Katanya, kerajaan sudah membincangkan langkah persediaan menghadapi fenomena berkenaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara.
“Antaranya peruntukan kepada nelayan pantai ditingkatkan sebab bila El Nino kalau naik sampai 40 darjah, dia akan beri kesan kepada nelayan pantai yang utama sekali sebab ikannya akan pergi ke tengah sikit.
“Dia hanya boleh tangkap lima batu nautika. Jadi ke tengah lagi, satu dia tak sesuai, yang kedua dia tak berupaya nak tangkap yang laut dalam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Konvensyen Parti Amanah Negara Peringkat Negeri Kelantan 2026 di sini, Jumaat lalu.
Mohamad berkata, sektor akuakultur turut berdepan cabaran sekiranya suhu meningkat secara mendadak kerana pengusaha perlu menyediakan perlindungan tambahan bagi mengelakkan ternakan terjejas.
Menurutnya, antara langkah yang perlu diambil termasuk menyediakan kanvas bagi melindungi kolam ternakan, sekali gus meningkatkan kos operasi pengusaha.
Katanya, persediaan awal amat penting bagi membantu nelayan, petani dan pengusaha akuakultur menghadapi kemungkinan cuaca panas melampau yang boleh menjejaskan pengeluaran makanan.
Beliau berkata, penyampaian maklumat berkaitan perubahan cuaca juga perlu dipertingkatkan supaya golongan terbabit dapat mengambil langkah bersesuaian lebih awal.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, keadaan jerebu turut menambah cabaran ketika negara membuat persediaan menghadapi kemungkinan kesan fenomena El Nino.-SAHIH
#ElNino #NelayanPantai #MohamadSabu #KeterjaminanMakanan
