Tujuh projek utama Perak dapat lampu hijau Kerajaan Persekutuan
Tujuh projek utama Perak dapat lampu hijau Kerajaan Persekutuan
LENGGONG: Tujuh daripada 10 projek keutamaan yang dikemukakan kerajaan Perak mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027, sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat khususnya dalam sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara projek diluluskan termasuk pembangunan perkhidmatan pembedahan kardiotorasik di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh serta pembinaan kemudahan pendidikan baharu di Sitiawan dan Chemor.
Katanya, turut mendapat kelulusan ialah Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Sepetang dan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Proton City di Tanjong Malim.
“Kelulusan ini amat bermakna kerana projek-projek berkenaan menyentuh secara langsung keperluan rakyat, khususnya dalam meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik serta memperkukuh aspek keselamatan dan perlindungan daripada risiko bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Moh Sukses Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 Tuisyen Cikgu Saarani Daerah Hulu Perak di Dewan Merdeka, di sini, Sabtu lalu.
Saarani berkata, Belanjawan 2027 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memperlihatkan pengiktirafan terhadap potensi Perak sebagai negeri strategik dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Menurutnya, perhatian khusus diberikan kepada dua daripada lima nod pertumbuhan utama negeri iaitu Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim dan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC).
“Pengumuman untuk memperhebat pembangunan LuMIC sebagai hab maritim dan memperkukuh AHTV sebagai hab automotif serantau memperlihatkan keselarasan antara perancangan pembangunan kerajaan negeri dengan keutamaan ekonomi negara.
“Lebih penting, pengumuman ini memberikan dorongan kepada usaha menjadikan Perak sebagai salah sebuah hab perindustrian utama negara dengan potensi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi, memperkukuh ekosistem industri serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan pengumuman itu mampu merancakkan pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi negeri selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.-SAHIH
#Belanjawan2027 #Perak #SaaraniMohamad #PembangunanNegeri
