Alumni sekolah disaran manfaat potongan cukai sehingga 10 peratus
Alumni sekolah disaran manfaat potongan cukai sehingga 10 peratus
KUALA LUMPUR: Badan alumni sekolah disaran memanfaatkan insentif potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu meningkatkan kemudahan dan kualiti pendidikan negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan mengiktiraf peranan penting persatuan bekas pelajar dalam menyokong pembangunan sekolah, termasuk menyediakan persekitaran pembelajaran lebih baik kepada generasi muda.
Katanya, insentif berkenaan membolehkan sumbangan tunai kepada Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah menikmati potongan cukai, sekali gus menggalakkan lebih ramai bekas pelajar menyumbang kepada sekolah masing-masing.
“Saya percaya badan alumni di Malaysia sememangnya memainkan peranan dalam menyokong sistem pendidikan negara dan sekolah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Persatuan Alumni St John 2026 di sini, Sabtu lalu.
Amir Hamzah berkata, sumbangan melalui tabung berkenaan boleh digunakan bagi membiayai operasi sekolah, membaiki kemudahan, membeli peralatan serta melaksanakan program pembangunan pelajar.
Menurutnya, bekas pelajar juga digalakkan memberikan sumbangan bukan sekadar dalam bentuk kewangan, sebaliknya berkongsi pengalaman dan kepakaran bagi membantu meningkatkan mutu pendidikan.
Katanya, badan alumni mempunyai peranan besar dalam memastikan generasi muda mendapat peluang pembelajaran serta menerapkan nilai dan sahsiah positif sebagaimana yang pernah diterima bekas pelajar.
Dalam pada itu, Amir Hamzah turut merakamkan penghargaan terhadap Persatuan Alumni St John atas pelbagai inisiatif dilaksanakan membabitkan kesejahteraan ekonomi, pendidikan, kecemerlangan sekolah dan pembangunan sukan.
Beliau yang turut menerima Anugerah Eagle 2026 pada majlis berkenaan mengakui terharu dengan penghargaan itu selepas 42 tahun meninggalkan St John’s Institution.
“Sukar dipercayai sudah 42 tahun berlalu. Masa berlalu begitu pantas, namun hubungan persaudaraan dan persahabatan kami masih kekal erat,” katanya.-SAHIH
#Belanjawan2027 #PotonganCukai #AlumniSekolah #AmirHamzah
