Akaun palsu dari luar negara dikesan serang institusi diraja
Akaun palsu dari luar negara dikesan serang institusi diraja
KUALA LUMPUR: Kebanyakan akaun palsu yang dipercayai terbabit dalam serangan terancang terhadap institusi diraja menerusi media sosial dikesan berasal dari luar negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dikenal pasti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hasil siasatan terhadap kegiatan penyebaran kandungan menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Katanya, lebih 600 akaun palsu dikenal pasti terbabit dalam penyebaran lebih 2,000 kandungan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) atau bersifat jelik serta melampau, termasuk menghina Sultan Ibrahim.
“Pihak MCMC sudah mengenal pasti bahawa akaun-akaun palsu ini kebanyakannya datang dari luar negara kita, bukan dalam.
“Ia adalah satu keadaan yang agak merisaukan. MCMC masih menjalankan siasatan dan sekiranya kita mengenal pasti secara positif individu-individu tertentu, kita akan berusaha membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Hab Interaktif Keibubapaan Pintar di IWK Eco Park, Pantai Dalam, di sini, semalam.
Fahmi berkata, MCMC turut menerima aduan berhubung kegiatan serangan terancang menggunakan akaun palsu di platform Threads yang menyasarkan Tuanku Muhriz.
Menurutnya, akaun berkenaan dipercayai diwujudkan kira-kira sebulan lalu dengan jumlah pengikut sifar atau seorang sebelum digunakan untuk membentuk perbincangan yang menghina institusi diraja.
Katanya, siasatan mendapati serangan terhadap Sultan Ibrahim dikesan berlaku menerusi Facebook, manakala serangan terhadap Tuanku Muhriz menggunakan platform Threads.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC turut merakam percakapan seorang individu di Balai Polis Labu serta menyita telefon bimbit dan eSIM bagi membantu siasatan kandungan yang disyaki menghina institusi diraja Negeri Sembilan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-SAHIH
#MCMC #FahmiFadzil #InstitusiDiraja #AkaunPalsu
