Nak cari dia di UM’, Fahmi kecam ugutan terhadap mahasiswa
‘Nak cari dia di UM’, Fahmi kecam ugutan terhadap mahasiswa
KUALA LUMPUR: Tindakan mengugut mahu mencari seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) di kampus selepas menyuarakan pandangan dalam sebuah forum disifatkan sebagai perbuatan tidak beradab dan tidak boleh diterima.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengecam sekeras-kerasnya tindakan buli siber terhadap Ummi Umairah Bakhit, termasuk perbuatan mengherdik dan mengugut mahasiswa terbabit hanya kerana menyuarakan pandangannya.
Katanya, perbezaan pendapat tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyerang atau mengancam keselamatan seseorang, lebih-lebih lagi mahasiswa yang mempunyai hak untuk bersuara selagi tidak melanggar undang-undang.
“Saya kecam tindakan pihak yang mengherdik beliau, mengugut beliau. Ada yang saya baca sampai berkata nak cari beliau di Universiti Malaya. Ini bukan adab kita.
“Dan saya akan semak dengan pihak MCMC apakah tindakan-tindakan yang telah diambil berdasarkan aduan-aduan yang telah diterima.
“Tetapi saya ingin tekankan, pihak MCMC juga akan bersifat proaktif. Jadi bukan hanya menunggu untuk laporan dibuat, tapi akan mengambil tindakan sekiranya perlu, berdasarkan situasi semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Hab Interaktif Keibubapaan Pintar di IWK Eco Park, Pantai Dalam, di sini, semalam.
Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menangani kegiatan buli siber, khususnya membabitkan ugutan terhadap individu yang menyuarakan pandangan.
Menurutnya, mahasiswa mempunyai hak untuk mengutarakan pendapat dan pandangan mereka perlu dihormati walaupun terdapat pihak yang tidak bersetuju.
Terdahulu, Ummi Umairah menerima kecaman dan ugutan di media sosial selepas mempersoalkan tindakan mengumpul derma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar denda mahkamah RM50 juta ketika menyertai sebuah forum bersama pemimpin UMNO.
Fahmi turut menggesa mangsa buli siber membuat laporan kepada polis dan MCMC bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.-SAHIH
#FahmiFadzil #UmmiUmairah #BuliSiber #MCMC
