Dua Naib Presiden ANGKASA dipilih tanpa bertanding
Dua Naib Presiden ANGKASA dipilih tanpa bertanding
SELANGOR : Dua calon Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dipilih tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-40 (MAPA 2026) yang berlangsung di Wisma Ungku A. Aziz, di sini, semalam.
Keputusan itu dibuat selepas proses pengundian dan semakan pencalonan yang di Pengerusi oleh Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bagi memilih dua Naib Presiden serta enam wakil negeri sebagai Jawatankuasa Menentusahkan Draf Minit Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-40 (MAPA 2026).
Bagi jawatan Naib Presiden, seramai empat calon pada awalnya menawarkan diri untuk bertanding.

Bagaimanapun, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa daripada Koperasi Tanjung Perdana Kelantan Berhad menarik diri, manakala Datuk Dr. Mohamed Saat Ismail daripada Koperasi Proniaga Berhad tidak dipertimbangkan sebagai calon Anggota Lembaga ANGKASA.
Susulan itu, Datuk Ibrahim Abdullah daripada Koperasi Guru Melayu Negeri Sembilan Berhad dan Zaharuddin Alias daripada Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad diisytiharkan menang tanpa bertanding, sekali gus dipilih sebagai Anggota Lembaga ANGKASA.
Sementara itu, bagi pemilihan enam wakil negeri sebagai Jawatankuasa Menentusahkan Draf Minit Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-40 (MAPA 2026), seramai 16 calon bertanding.
Enam calon yang memperoleh undi tertinggi ialah Adnan Awang dengan 3,166 undi, diikuti Intan Norzira Tormudzi (2,874 undi), Ahmad Naqiuddin Mohamad (2,682 undi), Habibah Ja’afar (2,455 undi), Sharul Baha Abd Rahman (2,087 undi) dan Dr. Abdul Wahab Alias (1,950 undi).

Keputusan pemilihan Naib Presiden diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Kesahihan Wakil dan Calon (JKWC) MAPA 2026, Datuk Kamarudin Ismail pada jam 12.25 tengah hari, manakala keputusan pemilihan Jawatankuasa Menentusahkan Draf Minit diumumkan Timbalan Pengerusi MAPA 2026, Datuk Haji Haron Abdullah pada jam 2.45 petang.
Seramai 5,687 daripada 5,724 wakil sah menghadiri mesyuarat itu, membabitkan lapan Anggota Lembaga ANGKASA, 180 Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri dan wakil daripada 5,501 koperasi anggota ANGKASA di seluruh negara.-SAHIH
