ANGKASA Seru Generasi Muda Dekati Koperasi
ANGKASA Seru Generasi Muda Dekati Koperasi
BALAKONG: Generasi muda perlu diberi pendedahan lebih meluas mengenai peranan dan kepentingan koperasi bagi memastikan gerakan itu terus berkembang serta kekal relevan dalam memperkasakan ekonomi rakyat pada masa hadapan.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, anggota koperasi perlu memainkan peranan aktif dalam mendidik golongan muda agar memahami fungsi dan manfaat koperasi terhadap pembangunan sosioekonomi ummah.
Beliau berkata, semangat Maal Hijrah yang disambut ketika ini wajar dijadikan pemangkin untuk koperasi membina keazaman baharu dalam memajukan organisasi masing-masing, selain menyemai rasa cinta terhadap koperasi dalam kalangan generasi muda.
“Koperasi bukan sahaja perlu terus berkembang sebagai entiti ekonomi yang berdaya saing, malah perlu berusaha menanam minat dan kecintaan generasi muda terhadap gerakan koperasi.
“Selain mendidik generasi muda, koperasi juga boleh menjadi pemangkin dalam melahirkan lebih ramai pengeluar dan usahawan dalam kalangan anggota sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber perolehan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Sepetang Bersama Presiden ANGKASA dan Anggota Koperasi Kariah Masjid Taman Taming Jaya Selangor Berhad di perkarangan Masjid Taman Taming Jaya, di sini, semalam.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan proses menggandakan keupayaan koperasi melalui peningkatan jumlah syer dan sokongan anggota dapat dilaksanakan secara lebih terancang dan berterusan.

Dr Abdul Fattah turut mencadangkan supaya sambutan ulang tahun koperasi diraikan bersama ahli keluarga termasuk anak-anak sebagai usaha memberi pendedahan awal serta pengetahuan lebih luas mengenai gerakan koperasi.
Katanya, pendekatan berkenaan mampu membantu melahirkan generasi pewaris yang memahami serta menghargai peranan koperasi dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Program berkenaan dianjurkan sempena ulang tahun keenam penubuhan Koperasi Kariah Masjid Taman Taming Jaya Selangor Berhad yang kebetulan jatuh pada 1 Muharam 1448 Hijrah.
Majlis itu turut diserikan dengan penyerahan lima borang keanggotaan baharu koperasi yang disaksikan Dr Abdul Fattah serta acara cabutan bertuah kepada anggota yang hadir.
Turut hadir Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail; Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Korporat), Dato’ Dr Haji Mohd Nasiruddin Othman; Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Taman Taming Jaya Selangor Berhad, Haji Azizan Abu Che serta barisan Anggota Lembaga Koperasi.-SAHIH
