Balai Polis Kuala Krau Baharu Tingkat Kualiti Perkhidmatan dan Kebajikan Anggota
Balai Polis Kuala Krau Baharu Tingkat Kualiti Perkhidmatan dan Kebajikan Anggota
TEMERLOH: Pembinaan Balai Polis Kuala Krau yang baharu dengan kos melebihi RM20 juta disifatkan sebagai satu pelaburan penting dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan keselamatan kepada masyarakat selain meningkatkan kebajikan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kemudahan baharu itu bukan sahaja menggantikan bangunan lama yang uzur, malah dilengkapi pelbagai kemudahan moden yang mampu meningkatkan kecekapan operasi serta keselesaan anggota bertugas.
Menurutnya, balai polis berkenaan mempunyai kemudahan lengkap termasuk bilik mesyuarat, bilik taklimat dan ruang kerja yang lebih kondusif selain menyediakan kuarters yang selesa untuk anggota serta keluarga mereka.
“Balai ini dibina mengikut keperluan semasa bagi memastikan anggota dapat menjalankan tugas dalam suasana yang lebih baik dan profesional.
“Kita mahu anggota polis memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, justeru aspek kebajikan dan keselesaan tempat kerja perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Balai Polis Kuala Krau di sini, kelmarin .

Yahaya berkata, pembangunan infrastruktur keselamatan yang lebih moden membolehkan PDRM meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi pelbagai cabaran keselamatan termasuk jenayah konvensional dan ancaman jenayah siber yang semakin berkembang.
Sementara itu, seorang penduduk Kuala Krau, Mohd Fadzil Hassan, 52, berkata pembinaan balai polis baharu itu memberikan keyakinan kepada penduduk setempat terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
“Sudah tentu kami berasa bangga kerana Kuala Krau kini mempunyai balai polis yang lebih moden dan lengkap. Ia menunjukkan kerajaan memberi perhatian terhadap keselamatan rakyat,” katanya.
Bagi peniaga, Noraini Abdullah, 43, pula, kemudahan baharu itu dijangka membantu mempercepatkan urusan orang ramai yang berurusan dengan pihak polis.
“Balai lama agak terhad dari segi ruang. Dengan bangunan baharu ini, saya percaya perkhidmatan kepada masyarakat akan menjadi lebih cekap dan mesra pelanggan,” katanya.
Dalam majlis sama, turut disampaikan sumbangan Dana Wakaf Projek Van Jenazah PDRM bagi membantu memperkasakan perkhidmatan kebajikan kepada warga pasukan dan masyarakat setempat.-SAHIH
