Kepimpinan BERSATU Rompin Bubar Jawatankuasa, Sertai RESET
Kepimpinan BERSATU Rompin Bubar Jawatankuasa, Sertai RESET
ROMPIN – Sebahagian besar kepimpinan dan ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Rompin mengumumkan pembubaran jawatankuasa bahagian itu sebelum mengambil keputusan menyertai Gerakan RESET dan Parti Wawasan Negara (PWN).
Naib Ketua BERSATU Bahagian Rompin, Azman Ismail, berkata keputusan itu dibuat selepas melalui penelitian, perbincangan dan pertimbangan mendalam bersama kepimpinan serta akar umbi parti di kawasan berkenaan.
Menurutnya, langkah itu bukan didorong oleh kepentingan peribadi, kedudukan atau jawatan, sebaliknya bagi mempertahankan prinsip perjuangan yang selama ini dijunjung serta memastikan suara akar umbi terus dihormati dan diberikan tempat sewajarnya dalam menentukan hala tuju politik.
Beliau berkata, keputusan berkenaan turut dibuat selepas menilai perkembangan semasa dalam parti yang didakwa semakin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli dan pimpinan di peringkat akar umbi.
“Pelbagai pertikaian kepimpinan di peringkat pusat selain ketidaktentuan hala tuju perjuangan parti menyebabkan ramai ahli hilang keyakinan terhadap masa depan parti.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan usaha memperkukuhkan organisasi, malah mengalihkan fokus daripada agenda utama untuk membela nasib rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Azman berkata, pihaknya turut melihat cabaran dalam hubungan dan kerjasama antara parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan memberi kesan kepada kekuatan gabungan pembangkang itu secara keseluruhan.
Menurutnya, sebarang keretakan atau ketidakselarasan dalam hubungan antara parti komponen boleh menimbulkan pelbagai persoalan serta kegusaran dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat akar umbi.
“Perkembangan ini menyebabkan ramai ahli berasakan sudah tiba masanya untuk meneruskan perjuangan melalui wadah baharu yang lebih segar, inklusif dan mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat demi kepentingan rakyat dan masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata, Gerakan RESET yang dipelopori Datuk Seri Hamzah Zainudin dilihat membawa agenda perubahan politik yang lebih tersusun, inklusif dan berteraskan tadbir urus yang baik.
Menurutnya, gerakan itu turut memperjuangkan pembinaan semula kekuatan rakyat berasaskan matlamat bersama, kemakmuran bersama, tadbir urus yang adil serta nilai perikemanusiaan dalam kerangka konsensus nasional.
“Sehubungan itu, saya bersama sebahagian besar kepimpinan dan ahli Jawatankuasa BERSATU Bahagian Rompin mengambil keputusan menyertai Gerakan RESET dan akan terus berkhidmat kepada rakyat melalui wadah perjuangan yang baharu.
“Sebahagian besar pimpinan cawangan, sayap parti serta jentera akar umbi BERSATU Bahagian Rompin turut menyatakan komitmen untuk bergerak bersama dalam Gerakan RESET sebelum menyertai Parti Wawasan Negara,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu menandakan bermulanya fasa baharu perjuangan politik di Rompin yang lebih tersusun, inklusif dan dekat dengan aspirasi rakyat.-SAHIH
