Pemuda UMNO Jengka 24 sasar gegar gelombang anak muda
Pemuda UMNO Jengka 24 sasar gegar gelombang anak muda
JERANTUT – Gerakan Setia UMNO yang bakal berlangsung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Jengka 24 petang ini dijangka menjadi platform penting untuk menghimpunkan ahli parti serta golongan muda dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, program anjuran Pemuda UMNO Cawangan Jengka 24 bersama Pemuda DUN Pulau Tawar itu bukan sahaja terbuka kepada ahli UMNO, malah turut mengalu-alukan kehadiran seluruh penduduk setempat.
Menurutnya, program yang bermula pada pukul 3 petang itu turut membabitkan penyertaan Wanita UMNO, Puteri UMNO, Jawatankuasa Cawangan, ketua-ketua blok lelaki dan wanita serta golongan belia dari seluruh kawasan Felda Jengka 24.
“Program ini bertujuan mengukuhkan semangat perpaduan dan kesetiaan dalam kalangan ahli parti selain menjadi medan untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
“Kita menjemput semua ahli UMNO dan bukan ahli supaya hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program ini.
Kehadiran masyarakat setempat amat penting sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan perjuangan parti di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Razak berkata, sambutan yang menggalakkan daripada golongan muda sebelum ini memberi petanda positif terhadap usaha menarik lebih ramai belia mendekati parti dan memahami peranan mereka dalam pembangunan negara.
Katanya, penglibatan generasi muda perlu diperkukuhkan kerana mereka merupakan aset penting yang bakal menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.
“Pemuda sentiasa menjadi tulang belakang perjuangan parti. Sebab itu kita mahu melihat lebih ramai anak muda turun padang, menyertai program dan bersama-sama menggerakkan agenda pembangunan masyarakat.
“Mari kita turun beramai-ramai untuk menggegarkan suasana dan menunjukkan semangat kebersamaan warga Felda Jengka 24,” ujarnya.
Program Gerakan Setia UMNO Peringkat DUN Pulau Tawar itu membawa tema ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dan dijangka menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana penuh semangat serta muafakat.-SAHIH
