Korban perdana UMNO Jerantut erat hubungan pemimpin dan rakyat
Korban perdana UMNO Jerantut erat hubungan pemimpin dan rakyat
JERANTUT – Program korban perdana anjuran UMNO Bahagian Jerantut yang menyaksikan sebanyak 10 ekor lembu dikorbankan di Dataran Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah Aidiladha, malah menjadi medan mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, kesemua lembu korban tersebut merupakan sumbangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah.
Menurutnya, program yang bermula seawal pukul 7.30 pagi itu mendapat sambutan menggalakkan daripada ahli UMNO serta penduduk sekitar yang bersama-sama bergotong-royong menjayakan ibadah berkenaan.
“Program ini selesai sebelum solat Jumaat dan berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak yang terlibat.
“Selepas proses penyembelihan dan melapah selesai, daging korban diagihkan kepada penduduk sekitar bandar Jerantut selain sebahagiannya dimasak untuk jamuan makan tengah hari,” katanya ketika ditemui di lokasi program.
Razak berkata, penganjuran korban perdana itu merupakan acara tahunan yang sentiasa mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, selain menunaikan ibadah korban, program tersebut turut menjadi platform memperkukuh silaturahim antara pemimpin UMNO, ahli parti dan komuniti setempat.

“Program ini adalah antara aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan UMNO Bahagian Jerantut dan bukannya program bermusim semata-mata.
“Kita sentiasa turun padang bersama masyarakat. Setiap hari dan setiap minggu ada pelbagai program yang dilaksanakan demi membantu rakyat serta mendengar keperluan mereka.
“Kita bukan bekerja hanya ketika musim pilihan raya, sebaliknya sentiasa bersama komuniti dalam pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau berharap semangat gotong-royong dan kebersamaan yang ditunjukkan sepanjang program itu dapat terus diperkukuhkan demi kesejahteraan penduduk di daerah berkenaan.-SAHIH
