EZ Qurban tekankan integriti dan pemantauan berkualiti dalam pengurusan korban
EZ Qurban tekankan integriti dan pemantauan berkualiti dalam pengurusan korban
LIPIS – Program Korban Perdana EZ Qurban bukan sahaja menumpukan kepada pelaksanaan ibadah korban, malah memberi penekanan terhadap aspek integriti, pemantauan dan pengurusan berkualiti bagi memastikan amanah masyarakat diuruskan secara telus.

Datuk Azhar bersama Duta EZ Qurban, Abon yang turut serta program tersebut di Tanjung Gahai.
Pengasas EZ Qurban, Datuk Azhar Ab Shukur berkata, pihaknya dikawal selia oleh beberapa badan berautoriti termasuk melalui pensijilan pengurusan berkualiti ISO serta pematuhan syariah yang dipantau secara berkala.
Menurutnya, audit dan pemantauan luar amat penting bagi memastikan setiap urusan yang dijalankan benar-benar berkualiti serta diyakini masyarakat.
“Kami mempunyai audit pengurusan berkualiti dan juga pematuhan syariah yang dipantau pihak berautoriti. Semua kerja dan urusan kami dikawal serta diaudit setiap tahun.
“Bukan sekali sahaja, tetapi berterusan sejak lima hingga enam tahun lalu kerana kami berurusan dengan masyarakat dan dunia luar yang hari ini berdepan pelbagai isu penipuan serta scammer,”katanya Program Korban Perdana EZ Qurban Peringkat Negeri Pahang di sini di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Tanjung Gahai, semalam.
Azhar berkata, pihaknya turut menggunakan sistem pemantauan kewangan melalui pihak ketiga bagi memastikan segala urusan pembayaran dan pengeluaran wang dilakukan secara terkawal.
“Kami mempunyai pihak pemegang amanah atau trustee yang mengawal urusan kewangan. Wang yang dibayar orang ramai tidak terus digunakan sesuka hati walaupun masuk ke akaun kami.
“Setiap transaksi dan bayaran perlu melalui kawalan pihak ketiga terlebih dahulu sebelum dilepaskan. Di situ kita menjaga integriti dan ketulusan dalam kerja,” katanya.
Katanya, pengiktirafan tersebut membuktikan setiap pengurusan dan pelaksanaan yang dilakukan memenuhi aspek integriti serta kepercayaan masyarakat. – SAHIH.
