Yayasan Infaq ANGKASA kumpul RM35 juta bantu asnaf, B40
Yayasan Infaq ANGKASA kumpul RM35 juta bantu asnaf, B40
SELANGOR : Yayasan Infaq ANGKASA berjaya mengumpul dana RM35 juta hasil sumbangan lebih 5,144 penyumbang infaq dari seluruh negara sejak penubuhannya pada 2010 bagi membantu golongan memerlukan termasuk asnaf dan B40 mendapatkan bantuan kebajikan serta akses rawatan kesihatan lebih baik.
Program julung kali diadakan itu menjadi projek rintis di bawah subprojek Klinik Kasih yang memberi fokus kepada bantuan kesihatan khusus untuk golongan asnaf dan B40 bagi mendapatkan rawatan berkualiti pada kos lebih mampu milik.
Sepanjang dua hari penganjuran program, pelbagai aktiviti kesihatan disediakan termasuk program berkhatan, pemeriksaan kesihatan, vaksinasi tahunan influenza dan taklimat kesihatan kepada peserta.
Presiden ANGKASA merangkap Pengasas Yayasan Infaq ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, Program Klinik Kasih 2026 mencerminkan keprihatinan gerakan koperasi dalam membantu masyarakat memerlukan terutama golongan asnaf dan B40.

Menurutnya, inisiatif berkenaan juga bertujuan meringankan beban kewangan warga kerja ANGKASA, anak syarikat dan jaringan ANGKASA yang memerlukan bantuan kesihatan.
“Usaha seperti ini amat penting dalam membantu masyarakat mendapatkan akses kesihatan lebih baik terutama ketika kos rawatan dan perubatan semakin meningkat,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Dewan Ali Baharum, ANGKASA, Kelana Jaya, hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Infaq ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, wakil KoPro Utama, Dr. Mohd Ezreen Abdullah serta Pegawai Bomba Kanan I Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Mohd Fadhil.

Beliau berkata, jumlah agihan sejak penubuhan yayasan itu kini mencecah RM23 juta membabitkan pelbagai bentuk bantuan kebajikan kepada masyarakat memerlukan.
Beliau berharap Projek Klinik Kasih dapat diperluaskan ke seluruh negara termasuk kawasan pedalaman supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat menikmati manfaat infaq serta akses rawatan kesihatan lebih baik.-SAHIH
