Koperasi rantau Asia Pasifik diseru perkukuh daya tahan iklim
Koperasi rantau Asia Pasifik diseru perkukuh daya tahan iklim
KUALA LUMPUR – Peranan koperasi sebagai benteng utama komuniti dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan bencana alam terus diperkukuhkan menerusi penganjuran webinar antarabangsa bertajuk Cooperatives at the Frontline of Climate and Disaster Resilience pada 19 Mei lalu.
Program anjuran ICA-AP Agricultural and Environment Committee (ICAE) itu berlangsung secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom Meeting dan menghimpunkan lebih 60 peserta dari rantau Asia Pasifik.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama rentas negara amat penting dalam memastikan koperasi terus relevan sebagai pemacu pembangunan komuniti yang lebih lestari dan berdaya tahan.
Menurut beliau, perkongsian ilmu serta pengalaman antara koperasi di rantau Asia Pasifik mampu membantu organisasi terbabit meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi risiko bencana dan perubahan iklim.
“Peranan koperasi bukan sahaja tertumpu kepada aspek ekonomi, malah menjadi platform penting dalam membantu komuniti menghadapi cabaran perubahan iklim dan bencana secara lebih tersusun,” katanya.
Webinar berkenaan membincangkan impak perubahan iklim yang semakin meruncing termasuk kejadian banjir, kemarau dan taufan yang memberi kesan besar terhadap sosioekonomi komuniti setempat.
Selain itu, program terbabit turut mengetengahkan beberapa perkongsian kes sebenar daripada koperasi terpilih di rantau Asia Pasifik berkaitan pengurusan risiko bencana dan usaha memperkukuh daya tahan komuniti.

Antara pengisian utama ialah pembentangan projek pemulihan bencana oleh wakil ULCCS India, Arun Baboo selain perkongsian amalan pertanian pintar iklim oleh Lourdes Diocson dari AgriCOOPh Filipina.
Turut berkongsi pandangan ialah pakar Japan Cooperative Alliance, Prof. Akira Kurimoto yang membincangkan strategi rangka kerja polisi jangka panjang bagi membantu koperasi menghadapi cabaran perubahan iklim secara lebih sistematik dan mampan.
Webinar tersebut turut dihadiri Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik yang juga Pengerusi ICAE.
Secara keseluruhan, webinar berkenaan berjaya mencapai objektif untuk meningkatkan pemahaman peserta mengenai pengurusan risiko iklim selain mendokumentasikan amalan terbaik yang boleh dijadikan rujukan oleh koperasi di seluruh rantau Asia Pasifik.-SAHIH
