Masjid Felda Adela jalin ukhuwah melalui lawatan ke Pahang
Masjid Felda Adela jalin ukhuwah melalui lawatan ke Pahang
JENGKA – Program lawatan Masjid Jamek Al-Ikhwan Felda Gugusan Adela ke beberapa masjid utama di negeri ini berjaya memperkukuh hubungan ukhuwah serta perkongsian ilmu antara pengurusan masjid komuniti Felda.
Lawatan selama empat hari bermula 28 hingga 31 Oktober lalu itu turut disertai Pengerusi Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud bersama Al-Fadhil Qadhi Daerah Jengka Tuan Nik Ibrahim Nik Abdullah dan pegawai agama, ahli jawatankuasa masjid dari Felda Adela, Johor.
Antara lokasi yang dikunjungi termasuk Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah I di Kuantan, Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Taman Temerloh Jaya, Masjid Sultan Ahmad Al-Mustain Billah Temerloh, serta Kompleks Pemuliaan Al-Quran Negeri Pahang di Chenor.
Rombongan turut menziarahi Galeri Ulama di Madrasah Raudatul Muhibbin Chenor dan beberapa masjid Felda lain seperti Masjid Al-Furqan Felda Kampung Awah, Masjid Nurul Huda Felda Jengka 19 dan Masjid Al-Muhajirin Felda Ulu Jempol.
Menurut Penyelaras Bersama program, Ustaz Mohd Nasaie Nawawi @Saad, tujuan utama lawatan itu adalah untuk mempererat hubungan antara masjid Felda selain berkongsi pengalaman mengenai sistem pentadbiran dan pengurusan kewangan.
“Program ini bukan sekadar ziarah, sebaliknya menjadi medan pertukaran pandangan dan idea bagi memperkemas urus tadbir masjid supaya lebih cekap dan proaktif,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Qadhi Daerah Jengka merangkap Imam Besar Masjid Sultan Ahmad Shah, Al-Fadhil Ustaz Mohd Fikri Hamzah, berkata penganjuran lawatan seperti ini wajar diteruskan kerana ia menghidupkan budaya ilmu dan memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi masjid.
Program berkenaan diketuai Tuan Haji Ahmad Hassan, Pengerusi Masjid Jamek Al-Ikhwan Felda Gugusan Adela, dan mendapat sambutan hangat daripada pengurusan masjid-masjid yang dilawati.
Ia turut membuka ruang kerjasama dalam bidang dakwah, kebajikan dan pembangunan komuniti Felda pada masa akan datang.-SAHIH

 
                                                                     
                                                                     
                                                                    