Razak Daud Tokoh Maulidur Rasul Wilayah Jengka
Razak Daud Tokoh Maulidur Rasul Wilayah Jengka
JENGKA: Penglibatan aktif dalam kerja kebajikan dan pembangunan komuniti membawa pengiktirafan kepada Razak Daud, 65, apabila beliau dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Jengka 2025.
Beliau menerima penghargaan itu pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2025/1447H di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi, yang menghimpunkan warga FELDA Wilayah Jengka serta ahli gabungan masjid dari seluruh rancangan FELDA.
Turut hadir Majlis tersebut Exco kerajaan negeri Pahang Datuk Amizar Abu Adam Exco Hal Ehwal FELDA Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Pengarah Felda Wilayah Jengka, Mohd. Tarmizi Lee dan Ketua Peneroka Wilayah Jengka, Ariffin Wahab.

Razak Daud (dua dari kanan) menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Wilayah Jengka 2025 daripada wakil FELDA pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Stadium Tun Abdul Razak
Razak yang juga Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka berkata, beliau tidak menyangka dipilih menerima anugerah berkenaan kerana segala usaha dilakukan hanya untuk membantu masyarakat.
“Saya bersyukur dan berterima kasih atas anugerah ini walaupun tujuan memegang jawatan bukanlah untuk mendapatkan penghargaan.
Apa pun, kita akan teruskan membantu orang susah dan menjalankan kerja kebajikan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Peneroka Jengka 24 berkata , pencalonan itu mungkin dinilai berdasarkan pelbagai program keagamaan, sukan, kebajikan dan komuniti yang dianjurkan bersama Gabungan Masjid di bawah FELDA Wilayah Jengka.
“Saya tidak menyangka kerana sejak awal tujuan saya berkhidmat adalah untuk masyarakat, bukan mengejar gelaran. Namun apabila ada pihak menilai sumbangan itu, saya anggap ia sebagai satu amanah untuk terus berbakti,” katanya.
Turut menerima penghargaan pada majlis itu ialah Fazilah Said Abu Bakar, 69,

Razak Daud (kiri) dan Fazilah Said Abu Bakar (kanan) dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Wilayah Jengka 2025 pada majlis sambutan di Stadium Tun Abdul Razak, malam tadi.
Fazilah berkata, minatnya dalam kerja sosial dan kebajikan tidak pernah pudar biarpun sudah berusia, malah beliau masih menjadi tenaga pengajar dan jurulatih dalam aktiviti komuniti termasuk marhaban serta program keagamaan.
“Daripada dulu saya memang aktif sama ada di peringkat gabungan mahupun rancangan. Walaupun usia makin lanjut, saya tetap mahu memberi semangat kepada anak-anak dan masyarakat sekeliling,” katanya yang kini mempunyai lima anak serta 10 cucu.
Sambutan anjuran FELDA Wilayah Jengka itu turut disertai Pengerusi dan Exco Gabungan Masjid serta masyarakat setempat sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW selain mengiktiraf sumbangan tokoh yang banyak berjasa kepada agama dan komuniti.-SAHIH