Pemandu wanita maut, empat parah dalam nahas di LPT
Pemandu wanita maut, empat parah dalam nahas di LPT
MARAN – Seorang wanita berusia 19 tahun maut manakala empat lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 148.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah barat, semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Nik Nur Emylia Najwa Ismail, dari Gua Musang, Kelantan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati MPV Perodua Alza dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Gua Musang sebelum hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang besi di bahu jalan.
“Kenderaan itu kemudian berpusing melintang di tengah lebuh raya sebelum dilanggar sebuah Proton X70 yang datang dari arah sama. Akibat perlanggaran, pemandu Alza parah dan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wong berkata, penumpang hadapan iaitu Muhammad Haris Danial Zainal, 20, dan seorang bayi lelaki berusia setahun, Muhammad Ayden Nuh Abdul Fatah, cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

“Dua lagi penumpang di bahagian belakang iaitu Nur Damia Qistina Abdullah, 17, dan Nor Muhammad Syukri Helmi Nor Azmy, 17, yang juga pelajar sekolah menengah, turut mengalami kecederaan dan menerima rawatan lanjut.
“Sementara itu, pemandu Proton X70, seorang wanita berusia 63 tahun, dilaporkan cedera ringan,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk bedah siasat, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SAHIH

 
                                                                     
                                                                     
                                                                    