SEMUA TAMAN NEGARA PAHANG DIBUKA
Berita Nasional
SEMUA TAMAN NEGARA PAHANG DIBUKA SEMULA
JERANTUT: Taman Negara Kuala Tahan, dekat sini dan Sungai Relau, Merapoh, Lipis dibuka semula untuk pelawat domestik menyertai aktiviti rekreasi dan riadah di kawasan hutan tropika itu mulai hari ini.
Satu kenyataan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) Semenanjung yang disiarkan menerusi hantaran laman sosial Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia menyebut kemudahan awan berkenaan mula dibuka untuk dikunjungi mulai tarikh tersebut dengan disertakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tambahan seperti yang diarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menerusi SOP tambahan MKN itu, sekatan dikenakan terhadap pengunjung dari negeri atau kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memasuki Taman Negara Pahang.
“Hanya pelawat yang berusia antara 12 hingga 60 tahun sahaja dibenarkan memasuki taman ini dan boleh menggunakan kemudahan awan di Taman Negara bagi tujuan rekreasi dan riadah.
“Manakala, aktiviti mendaki Gunung Tahan dari Kuala Tahan (Jerantut) dan Sungai Relau, Merapoh (Lipis) cuma dibenarkan untuk 20 orang pendaki sahaja dan maksimum bagi setiap kumpulan pendaki cuma 10 orang tidak termasuk malim gunung,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, aktiviti pengangkutan bot penambang di kawasan Taman Negara yang berkapasiti muatan empat dan enam orang penumpang pertu mematuhi penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka dan etika keselamatan tertentu.
“Titian kanopi (Canopy walkway) mula dibuka dengan mengehadkan seramai 160 orang sahaja pengunjung dan ditutup pada hari Rabu manakala pelawat diminta mematuhi penjarakan sosial ketika menunggu giliran termasuk aktiviti rekreasi dan riadah lain,” katanya.
Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut, menerusi SOP tambahan, aktiviti night walk dan pemerhatian haiwan liar di Bumbun masih ditangguhkan buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.
Arahan penutupan sementara Taman Negara Kuala Tahan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 6 Oktober 2020 lalu merupakan kali kedua selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu berikutan penularan pandemik COVID-19 di beberapa buah negeri yang diletakkan di kawasan merah serta penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh MKN.
Berikutan penutupan Taman Negara Kuala Tahan kali kedua yang menyimpan khazanah hutan tropika berusia lebih 150 juta tahun itu menimbulkan rasa kecewa dan kebimbangan dalam kalangan penguasaha sektor ekopelancongan di situ akibat mereka kehilangan punca pendapatan.
Keadaan itu menyebabkan satu memorandum bantahan telah ditandatangani oleh lapan wakil persatuan pengusaha, penggiat dan penggerak ekopelancongan termasuk Orang Asli Bateq di Taman Negara telah dihantar kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, kerajaan negeri, PERHILITAN, wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan pada 19 Oktober 2020 lalu.
Antara lain petisyen itu meminta Perhilitan membuka semula Taman Negara untuk merancakkan semula sektor ekopelancongan menerusi kehadiran pelawat domestik dan memberi nafas semula bagi kalangan pengusaha dan penggiat yang kehilangan punca pendapatan sebelum ini.
Sumber: BH Online