TERKANDAS PASARKAN MUSANG KING
TERKANDAS PASARKAN MUSANG KING.
Kira kira 100 pekebun durian Musang King mengalami kesukaran memasarkan hasil durian mereka apabila jambatan Bailey yang menghubungi kawasan kebun runtuh sejak lima hari lalu disebabkan arus deras.
Keadaan itu berlaku disebabkan hujan lebat serta Sungai Pertang menjadi besar dengan terdapat kepala air lalu meruntuhkan tebing sungai dan menyebabkan jambatan Bailey itu roboh.
Seorang pekebun durian, Micheal Chan berkata, laluan itu penting kerana menjadi jalan utama ke kebun Musang King di kawasan Lembah Temir dan bila berlaku terputus hubungan menyebabkan pekebun sukar memasarkan durian mereka ke Raub dan Lembah Klang.
“Sekarang ini musim durian Musang King dan jalan ini dilalui kira kira 300 kenderaan setiap hari khususnya membawa hasil durian dari kebun.
“Sekarang ini kami terpaksa menggunakan laluan alternatif iaitu jalan lama, melalui jalan di FELDA Lembah Klau yang lebih jauh dan mengambil masa lebih sejam untuk sampai ke Raub selain agak sukar kerana banyak rosak,” katanya.
Ketua kampung Sungai Klau, Lai Bee Pang berkata, penduduk memerlukan jambatan baru yang lebih kukuh kerana di sini merupakan pusat pengeluaran durian Musang King utama di Raub.
Katanya pada masa ini, pekebun durian telah mengumpul wang untuk membuat jambatan sementara bagi membolehkan mereka membawa hasil durian ke Raub dan Lembah Klang setiap hari.
Beliau berkata, pekebun juga risau kerana jambatan sementara yang mereka bina itu tidak boleh tahan lama, selain bimbang jika hari masih hujan dan kemungkinan jambatan ini mungkin juga boleh dibawa arus deras.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, ketika meninjau kawasan berkenaan, berkata laluan ini merupakan laluan utama penduduk kampung untuk ke Raub dan juga laluan utama pelancong dari dalam dan luar negara untuk ke pusat agropelancongan durian Musang King iaitu Lembah Temir.
“Pada masa ini terdapat hakisan pada stuktur jalan dan jambatan Bailey itu roboh serta hanyut dibawa arus sungai disebabkan hujan lebat di sebelah pagi minggu lalu.
“Air sungai besar dan limpahan air banjir dengan arus yang laju dan deras menyebabkan kawasan itu terjejas dan mengalami kerosakan sepanjang 40 meter meliputi jambatan serta hakisan pada struktur jalan serta bahu jalan,” katanya.
Kerajaan negeri telah memohon kepada JKR Pahang untuk pemasangan sementara jambatan Bailey di lokasi tersebut.
Katanya, JKR Raub sebelum ini telah memohon peruntukan pada setiap tahun untuk menggantikan jambatan Bailey ini kepada jambatan kekal jenis konkrit bertulang yang lebih selamat dan kukuh.