“Sokongan Jadi ‘Ubat Hati’ Pejuang Kanser
“Sokongan Jadi ‘Ubat Hati’ Pejuang Kanser
BERA : “Jangan fikir kita sakit, lawan rasa murung dengan semangat dan sokongan.”
Itu pesanan penuh makna daripada Zaridah Hashim, 53, pesakit kanser payudara tahap dua yang juga Pengerusi Pertubuhan Sokongan Pesakit Kanser Pahang (Cancer Support Pahang – CSP), sebuah pertubuhan yang menjadi nadi sokongan kepada lebih 200 pesakit barah di negeri ini.
Menurutnya, CSP diwujudkan bagi menghimpunkan pesakit kanser dalam satu komuniti yang saling memberi kekuatan moral, motivasi dan inspirasi sesama mereka.
“Kita adakan bengkel dan program agar ahli tidak rasa terpinggir. Ramai yang mengaku lebih bersemangat selepas sertai CSP. Bila mereka jumpa rakan senasib, mereka rasa difahami dan dihargai,” katanya.
Turut berkongsi pengalaman, Sadila Busu, 56, dari Kuantan, yang juga pesakit kanser serviks sejak 2017. Selepas menjalani pembedahan membuang rahim dan radioterapi, beliau sekali lagi diuji apabila disahkan menghidap kanser usus setahun kemudian.
“Akak kini tiada kawalan membuang air. Tapi akak tetap aktif ikut semua program. Kita muhasabah diri bila jumpa orang yang lebih teruk. Itu yang kuatkan semangat,” katanya yang tidak pernah tertinggal menyertai program CSP.
Sementara itu, Muhammad Zul Fadli Jaafar, 40, yang menjaga isterinya, Nor Asma Muhammad Alias, 40, pesakit kanser payudara tahap dua, menyifatkan CSP sebagai benteng utama semangat.
“Cabaran paling besar adalah kekuatan mental. Tapi pertubuhan ini banyak bantu beri sokongan rohani. Saya tak pernah layan isteri sebagai pesakit, saya anggap dia orang sihat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak malu untuk menjalani pemeriksaan awal kerana pengesanan awal kanser sangat penting bagi meningkatkan peluang sembuh.
Majlis penutup Program Kesedaran Kanser Komuniti anjuran CSP itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan yang juga Penaung CSP.-SAHIH