Memperkasa TVET: IPT Perlu Terajui Budaya Inovasi Menerusi R&D
Foto atas : : Datuk Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian bergambar bersama barisan pengurusan tertinggi universiti serta lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara sempena penutupan Edu@Innovate, Festival TVET dan SEPAKAD 2025, bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Memperkasa TVET: IPT Perlu Terajui Budaya Inovasi Menerusi R&D
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkasa budaya inovasi negara melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi bagi menangani cabaran sebenar masyarakat.

Datuk Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian berucap ketika merasmikan penutupan Edu@Innovate, Festival TVET dan SEPAKAD 2025, bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, menegaskan bahawa inovasi kini bukan lagi bersifat pilihan, sebaliknya menjadi keperluan strategik dalam memastikan kelestarian dan daya saing negara pada masa hadapan.
“IPT tidak lagi boleh dilihat sebagai ‘kilang peperiksaan’ semata-mata, sebaliknya perlu menjadi pusat pembentukan sahsiah, kecemerlangan intelektual dan hab inovasi negara.
“Penubuhan unit Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Keusahawanan (RDICE) di semua IPT merupakan langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem inovasi yang lebih mampan dan dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Edu@Innovate, Festival TVET dan SEPAKAD 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, baru-baru ini.
Beliau juga menekankan kepentingan pelaksanaan model heliks kuintuple, iaitu kerjasama antara akademia, industri, kerajaan, komuniti dan alam sekitar sebagai pemacu inovasi serta pembangunan inklusif negara.

Profesor Datuk Dr. Md Amin
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata Edu@Innovate 2025 menjadi platform dinamik yang menghimpunkan pelbagai inovasi pendidikan daripada pelbagai lapisan peserta termasuk institusi pendidikan tinggi, sekolah, agensi kerajaan, industri serta delegasi antarabangsa.
“Program ini berjaya menghimpunkan lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara serta menampilkan pameran daripada 30 agensi dan industri, sekali gus mencerminkan pendekatan menyeluruh UPSI dalam memacu inovasi pendidikan.
“UPSI turut mengambil inisiatif menjadi penganjur pertama Mini FOI di luar Putrajaya dengan sokongan daripada Yayasan Perak, Institut Darul Ridzuan, UiTM Sri Iskandar dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). UPSI komited menyumbang penyelesaian bermakna terhadap cabaran sosio-ekonomi melalui inovasi berasaskan penyelidikan dan jalinan komuniti,” katanya.
Katanya, inovasi bukan hanya tentang teknologi baharu, tetapi juga soal nilai, etika dan impak kepada komuniti. Ini selari dengan hasrat kita membentuk masyarakat MADANI yang mengharmonikan kemajuan dengan belas ihsan.
“Program seperti Edu@Innovate dan Festival TVET bukan hanya platform pameran, malah medan untuk memperkasa TVET sebagai pemacu kreativiti dan modal insan Revolusi Industri Keempat dan Kelima.
“TVET perlu dilihat sebagai laluan strategik yang penting dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan teknousahawan masa depan. Ia membekalkan pelajar dengan kemahiran teknikal, analitikal dan kepimpinan serta menyokong ekosistem inovasi negara,” katanya.
Pada majlis itu, turut disaksikan simbolik penyerahan dokumen kolaborasi antara UPSI dan 12 agensi serta industri bernilai RM10 juta yang membuktikan betapa pentingnya jaringan kerjasama inovatif dalam memperkasa program universiti.-SAHIH.