Dua Lelaki Dicekup Lombong Emas Haram di Raub
Dua Lelaki Dicekup Lombong Emas Haram di Raub
KUANTAN, – Dua lelaki tempatan yang dikesan menjalankan kegiatan melombong emas secara haram di Kampung Baru Bukit Koman, Raub, ditahan dalam satu operasi bersepadu oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), kelmarin.
Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan mencurigakan di kawasan terbabit.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota UPNP Zon Pahang Barat digerakkan ke lokasi kira-kira pukul 9 malam. Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki berusia 37 dan 63 tahun itu sedang aktif melombong emas tanpa kebenaran pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, pelbagai peralatan digunakan suspek turut disita termasuk satu unit pam air, dua unit palong bergerak, dulang, cangkul, penyodok dan kuali.
“Kita telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 kerana menjalankan aktiviti perlombongan tanpa lesen atau pajakan yang sah.
“UPNP tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan pencerobohan dan kegiatan perlombongan haram,” katanya.
Sementara itu, Facebook rasmi kerajaan negeri Pahang turut melaporkan beberapa tindakan penguatkuasaan lain yang dilaksanakan sepanjang bulan ini.
Antaranya ialah penahanan 25 individu yang dikesan menceroboh Hutan Simpan Gunung Benum, Raub bagi tujuan menanam durian secara haram, serta penahanan lapan warga asing yang melombong bijih besi secara haram di Sungai Cengkul, Mukim Penyur, Pekan.
Turut ditahan, seorang lelaki tempatan di Sungai Penyadap, Lipis serta lima individu termasuk empat warga asing di Kampung Kechor Tui, Lipis yang dipercayai melombong dan memproses emas tanpa lesen.
Selain itu, enam individu turut diberkas ketika sedang memindahkan tanah secara haram di Kampung Doja, Kuala Tembeling, Jerantut.-SAHIH