UMNO Kampung Koi terus utuh, 120 ahli hadir persidangan cawangan
UMNO Kampung Koi terus utuh, 120 ahli hadir persidangan cawangan
JERANTUT – Semangat perjuangan UMNO terus menyala di peringkat akar umbi apabila Persidangan UMNO Cawangan Kampung Koi berjaya dianjurkan dengan kehadiran 120 ahli di Dewan Orang Ramai Kampung Koi, di sini, petang semalam.
Persidangan yang berlangsung dalam suasana penuh semangat itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang bagi kawasan Parlimen Jerantut, Harris Salleh Hamzah, yang juga Ketua UMNO Cawangan Kampung Koi merangkap Ketua UMNO Bahagian Jerantut.
Menurut Harris, sambutan luar biasa itu membuktikan kesetiaan dan kepercayaan ahli kepada perjuangan parti masih kukuh dan tidak pernah luntur meskipun berdepan pelbagai cabaran politik.
“Alhamdulillah, kehadiran seramai 120 ahli ini mencerminkan komitmen dan kesetiaan tinggi terhadap perjuangan UMNO. Ia bukti jelas bahawa UMNO masih utuh di hati rakyat dan terus menjadi wadah perjuangan bangsa serta suara akar umbi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli yang hadir, terutamanya golongan veteran yang tetap setia dan gigih menyumbang kepada kekuatan parti selama ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan buat ayahanda dan bonda yang tidak pernah jemu menyumbang tenaga dan semangat. Mereka inilah tulang belakang kekuatan UMNO di peringkat cawangan,” katanya.
Jelas Harris, perjuangan UMNO masih belum selesai dan semua ahli digesa untuk terus mara demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.
“Kita tidak akan berundur. Ayuh, kita bangkit bersama,” katanya dengan nada tegas yang disambut sorakan semangat para hadirin.
Persidangan yang bermula pada pukul 4 petang itu turut membincangkan isu-isu semasa serta hala tuju UMNO di peringkat kampung menjelang pilihan raya akan datang.-SAHIH