Menara KL Nafi Buat Laporan Kepada MCMC
Menara KL Nafi Buat Laporan Kepada MCMC
KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa mereka membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap seorang kakitangannya, Mohamad Shafiq Abdul Halim, susulan satu video tular yang dimuat naik di media sosial pada 31 Mac lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu turut menyatakan bahawa pihak mereka tidak pernah mengarahkan mana-mana tindakan daripada MCMC atau mana-mana agensi lain untuk menekan individu tersebut yang dilihat hanya menyampaikan pandangan jujur berhubung isu peralihan konsesi Menara KL dan insiden malam kejadian.
“Kami telah meneliti video tersebut dan mendapati bahawa Mohamad Shafiq menyatakan perkara yang benar.
Pihak kami juga telah membawa isu ini ke mahkamah bagi mencabar tindakan yang diambil oleh pihak-pihak tertentu,” kata kenyataan itu.
Pengarah Urusan Menara KL, Datuk Abdul Hamid Shaikh bin Abdul Razak Shaikh turut menyatakan sokongan penuh terhadap Mohamad Shafiq, selain memberi jaminan bantuan guaman akan disediakan.
“Kami komited untuk memastikan beliau mendapat pembelaan adil terhadap sebarang tindakan yang bersifat menekan,” ujarnya.
Menurut Abdul Hamid, Menara KL tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik atau fahaman tertentu.
“Kami amat menghargai semua pihak yang memberi perhatian terhadap isu ini. Kami mengambil serius dan sedang menghadapi proses mahkamah berkenaan perkara tersebut,” katanya lagi.
Tegasnya, adalah tidak wajar untuk mana-mana individu yang menyuarakan pandangan jujur dikenakan tindakan atau kompaun, apatah lagi jika maklumat yang disampaikan adalah sahih dan demi kepentingan rakyat.-SAHIH