ANGKASA Pahang Timur semarak patriotisme, tahun ketiga sertai perbarisan
ANGKASA Pahang Timur semarak patriotisme, tahun ketiga sertai perbarisan
KUANTAN: Semangat patriotisme warga koperasi terus dizahirkan apabila ANGKASA Negeri Pahang Timur tampil menyertai perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 Peringkat Negeri Pahang, sekali gus menandakan penyertaan mereka buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2024.
Perbarisan yang berlangsung di Padang MBK 4, Kemunting di sini, pada 31 Ogos lalu disertai 36 peserta terdiri daripada anggota koperasi dan warga kerja ANGKASA Negeri Pahang Timur.
Kontinjen berkenaan diketuai Pengurus ANGKASA Pahang Timur, Subaizah Baharudin dengan membawa visi “Pemacu Unggul Kelestarian Sosial Ekonomi Rakan Koperasi”.
ANGKASA Negeri Pahang Timur menyertai kategori Kontinjen Berjalan Kaki di bawah Kontinjen Ekonomi dan Swasta yang membabitkan keseluruhan 11 kontinjen, satu pancaragam dan 353 peserta.
Penyertaan itu bukan sahaja memperlihatkan komitmen gerakan koperasi dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara warga ANGKASA, anggota koperasi serta masyarakat.
Sambutan berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Orang ramai turut membanjiri lokasi sambutan bagi bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Pahang, sekali gus menyemarakkan semangat cintakan negara dan patriotisme.
Selain menyaksikan perbarisan serta pelbagai acara yang disediakan, pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah Proton Saga, Perodua Bezza atau motosikal Modenas.
Penyertaan ANGKASA Negeri Pahang Timur dalam perbarisan berkenaan sekali lagi memperlihatkan sokongan gerakan koperasi terhadap agenda perpaduan dan semangat kebangsaan, selain memperkukuh keterlibatan koperasi dalam aktiviti kemasyarakatan di negeri ini.-SAHIH
#kw: ANGKASA, ANGKASA Pahang Timur, Hari Kebangsaan 2026, Kuantan, koperasi, Subaizah Baharudin, Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail
