Bengkel Penjagaan Warga Emas Mesra Ibadah Perkasa Petugas Pusat Jagaan
Foto : Suzal Ashima Sulaiman menyampaikan taklimat mengenai pelaksanaan penjagaan kesihatan dan spiritual kepada penjaga.
Bengkel Penjagaan Warga Emas Mesra Ibadah Perkasa Petugas Pusat Jagaan
KAJANG : Usaha merealisasikan pusat jagaan warga emas mesra ibadah di negara ini terus diperkasa menerusi penganjuran Bengkel Pemantapan Penjagaan Warga Emas: Sejahtera Fizikal, Mental dan Spiritual anjuran Akademi Hospital Mesra Ibadah dengan kerjasama Hospital Pakar Al-Islam Specialist, Kampong Bharu, Kuala Lumpur.
Bengkel yang berlangsung di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor itu menghimpunkan seramai 30 petugas daripada PJMM, Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Pusat Jagaan Insan (PJI), Semenyih serta ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24).

Sebahagian peserta dan kakitangan Hospital Pakar Al-Islam Specialist, Kampung Baru, Kuala Lumpur merakamkan kenangan selepas Bengkel Pemantapan Penjagaan Warga Emas: Sejahtera Fizikal, Mental dan Spiritual pada 29 April 2025.
Ketua Akademi Hospital Mesra Ibadah, Nurul Aisyah Amir Ramli mengetuai bengkel tersebut yang turut disertai Pengarah Hospital Pakar Al-Islam, Dr Ishak Mas’ud; Pengurus Kejururawatan, Suzal Ashima Sulaiman; dan Pengurus Jabatan Pembangunan Klinikal dan Rekod Perubatan, Mastura Ahmad.
Bengkel yang merangkumi teori dan praktikal memberi tumpuan kepada penjagaan holistik warga emas meliputi aspek fizikal, mental dan spiritual termasuk panduan ibadah harian khusus bagi penghuni uzur atau terlantar.
Menurut Dr Ishak, penjagaan yang berkesan terhadap warga emas menuntut pendekatan holistik sejajar dengan konsep sihat dalam Islam, bukan sekadar aspek kesihatan tetapi turut melibatkan kesejahteraan rohani dan amalan ibadah.
“Pelayanan terbaik hanya boleh diberikan oleh insan yang terbaik. Maka petugas perlu bukan sahaja prihatin terhadap kesihatan warga emas, tetapi juga membantu mereka mengekalkan ibadah dan hubungan dengan Allah SWT,” katanya ketika menyampaikan taklimat pembukaan.
Bengkel ini juga menyokong misi PJMM untuk menjadi pusat jagaan warga emas mesra ibadah pertama di negara ini. Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin berkata, impian tersebut kini lebih realistik setelah terjalin kerjasama bersama Hospital Pakar Al-Islam menerusi program Jalinan Kerjasama Jariah Ziarah Ramadan 2025.
“Akademi Hospital Mesra Ibadah telah memberi pendedahan penting kepada petugas kami dan membuka jalan ke arah pelaksanaan misi besar ini,” katanya.
Sementara itu, Pengurus PJNH, Kairul Anuar Ahmad menyifatkan bengkel ini sangat berguna untuk mempertingkat keprihatinan petugas terhadap cabaran sebenar dalam mengurus warga emas.
Petugas PJMM, Amni Najwa Zakaria turut meluahkan penghargaan terhadap latihan praktikal yang didedahkan dalam bengkel ini.
“Ia membuka mata kami tentang keperluan pendekatan lemah lembut dan penuh empati, lebih-lebih lagi apabila membantu warga emas bersolat atau makan ubat,” katanya.
Bengkel ini dijangka menjadi model rujukan kepada lebih banyak pusat jagaan warga emas dalam usaha membentuk sistem penjagaan yang lebih berakhlak, mesra ibadah dan menyeluruh.-SAHIH.