Hari Kebangsaan medan semai patriotisme, hargai erti kemerdekaan
Hari Kebangsaan medan semai patriotisme, hargai erti kemerdekaan
KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan menjadi medan penting untuk mengingatkan rakyat mengenai nilai kemerdekaan serta pengorbanan generasi terdahulu yang memungkinkan negara menikmati keamanan dan kesejahteraan hari ini.
Panglima 4 Divisyen Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Mohd Shauari Mat Piah berkata, perbarisan dan perarakan sempena sambutan berkenaan bukan sekadar acara istiadat tahunan, malah mampu menyatukan masyarakat pelbagai kaum menerusi semangat cintakan negara.
Beliau berkata, penglibatan pelbagai organisasi dan lapisan masyarakat dalam sambutan itu turut mencerminkan kebersamaan rakyat dalam menghayati erti sebenar kemerdekaan.
“Ini tarikh keramat kita bebas daripada penjajah dan apabila kita bersama-sama dengan satu niat yang sama, tidak kira bangsa dan kaum, kita akan bersatu melihat apa yang mahu disampaikan kerajaan,” katanya.
Mohd Shauari yang juga Ketua Penyelaras Jawatankuasa Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan 2026 berkata, aspek disiplin serta tradisi ketenteraan turut menjadi elemen penting dalam acara berkenaan.
Menurutnya, ia termasuk perbarisan panji-panji dan kawalan kehormatan yang dilaksanakan dengan penuh tertib serta mengikut adab dan tradisi ditetapkan.
Mengulas pandangan negatif di media sosial yang mengajak orang ramai supaya tidak menghadiri sambutan Hari Kebangsaan, beliau berkata masyarakat seharusnya mengenang perjuangan generasi terdahulu yang berkorban demi kemerdekaan negara.
Katanya, sambutan berkenaan adalah antara ruang terbaik untuk menyemai semangat patriotisme, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Semangat itu adalah semangat cintakan negara dan menghargai kemerdekaan. Apa yang kita kecapi hari ini, kita boleh tidur lena di rumah, belajar dan bekerja adalah hasil perjuangan orang terdahulu,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos bermula jam 8 pagi.
Seramai 10,819 peserta terbabit dalam perbarisan membabitkan 76 kontinjen dan 22 pasukan pancaragam.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Hari Kebangsaan 2026, kemerdekaan, patriotisme, Mohd Shauari Mat Piah, Tentera Darat Malaysia, Dataran Putrajaya, perbarisan Hari Kebangsaan, Malaysia MADANI
