‘Ingatkan kayu hanyut, rupanya 40 gajah!’
‘Ingatkan kayu hanyut, rupanya 40 gajah!’
JERANTUT – “Mula-mula ingatkan kayu hanyut, rupa-rupanya gajah!” Itu reaksi seorang pemandu bot pelancong, Ahmad Dahlan, 45, selepas menyedari objek terapung dari jauh sebenarnya adalah kawanan gajah liar yang sedang berenang menyeberangi Sungai Tembeling, semalam.
Kejadian yang berlaku berhampiran Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling itu disaksikan oleh beberapa pelancong asing yang dalam perjalanan dari Kuala Tahan ke Taman Negara.
Menurut Ahmad, dia bersama sekumpulan pelancong asing pada awalnya hanya melihat objek panjang dan gelap terapung di permukaan sungai yang disangka kayu hanyut.
“Bila makin dekat, kami nampak belalai terangkat dari air dan waktu itu barulah sedar yang kami sedang melihat sekumpulan kira-kira 40 ekor gajah sedang berenang! Ia satu pemandangan luar biasa,” katanya.
Tambah Ahmad, dia memperlahankan bot bagi mengelak mengganggu pergerakan haiwan tersebut.
“Pelancong yang ada pun teruja, semua ambil telefon dan rakam. Saya sendiri pun tak sangka dapat lihat sebanyak itu dalam satu masa,” katanya lagi.
Ahmad berkata, ini kali kedua dia menyaksikan gajah liar menyeberangi sungai tersebut, namun kali ini melibatkan jumlah paling ramai.
“Mereka ambil masa lebih kurang 20 minit untuk sampai ke tebing dan masuk semula ke dalam hutan,” katanya.
Salah seorang pelancong, Lilian dari Belanda berkata, pengalaman itu benar-benar mengagumkan dan takkan dilupakan.
“Saya sangat bertuah dapat saksikan sendiri. Ini bukan sesuatu yang boleh dilihat setiap hari,” katanya.
Difahamkan, kejadian seperti ini sering berlaku apabila kawanan gajah keluar dari hutan mencari makanan. Pihak Perhilitan sentiasa memantau bagi memastikan keselamatan orang ramai. – SAHIH