Dipukul Beramai-ramai Dalam Rumah Sewa, Lapan Ditahan
Dipukul Beramai-ramai Dalam Rumah Sewa, Lapan Ditahan
JOHOR BAHRU – Gara-gara menerima pesanan ringkas daripada seorang wanita, seorang lelaki nyaris maut selepas dipukul sekumpulan individu dalam kejadian di sebuah rumah flat di Plentong, di sini, Jumaat lalu.
Mangsa yang berusia 21 tahun dan bekerja sebagai operator kilang di Taman Puteri, Kluang itu dikatakan menerima mesej daripada seorang wanita dikenali, meminta untuk menemaninya di rumah sewa berkenaan.
Menurut sumber, mangsa tiba di lokasi kira-kira jam 9.30 malam sebelum didatangi tiga lelaki tidak dikenali, salah seorang daripadanya membawa senjata.
Lebih mengejutkan, tiga lagi lelaki keluar dari sebuah bilik lalu menyerangnya secara beramai-ramai menggunakan tangan dan kayu sehingga mangsa cedera teruk.
Mangsa mengalami luka di bahagian bibir dan telinga serta menerima sembilan jahitan – tiga di bibir kanan dan enam di telinga kiri.
Kejadian itu tular di media sosial selepas satu rakaman video menunjukkan mangsa dipukul lima hingga tujuh individu di dalam sebuah rumah mula tersebar semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan susulan laporan polis yang dibuat mangsa pada Sabtu lalu.
“Permohonan reman terhadap kesemua suspek sedang diproses untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Plentong, Seri Alam kira-kira jam 11.14 malam, Sabtu lalu.-SAHIH