Gaduh Sebab Bilik Hotel, 3 Warga Asing Ditahan
Gaduh Sebab Bilik Hotel, 3 Warga Asing Ditahan
BENTONG – Gara-gara tidak berpuas hati selepas mendakwa tidak mendapat bilik hotel meskipun sudah membayar RM1,500, tiga warga asing bertindak mencetuskan kekecohan dalam sebuah kasino di Genting Highlands, awal pagi 17 April lalu.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.05 pagi itu dirakam selama 42 saat dan tular di media sosial, sehingga menarik perhatian pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, susulan kejadian itu, seorang anggota polis bantuan telah menahan dua lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 32 hingga 49 tahun.
“Hasil siasatan mendapati, insiden berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap pihak pengurusan yang didakwa gagal menyediakan bilik hotel walaupun pembayaran telah dibuat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar,
Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di Malaysia.
Ketiga-tiga suspek telah direman sehingga 22 April untuk siasatan lanjut.
Dalam perkembangan terbaharu, Zaiham memaklumkan bahawa seorang lelaki telah dituduh di mahkamah hari ini di bawah Seksyen 448 dan 160 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dua lagi suspek iaitu seorang wanita dan seorang lelaki masih ditahan di bawah Akta Imigresen.
Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut kerana siasatan masih dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.
Kes ini mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata terkejut dengan tindakan keterlaluan warga asing terbabit semata-mata kerana isu bilik hotel.-SAHIH