Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia
Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.
Perkara itu disahkan menantunya, Khairy Jamaluddin, menerusi hantaran di media sosial yang memaklumkan bahawa Allahyarham, yang lebih dikenali sebagai ‘Pak Lah’, menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam.
“Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima, telah kembali ke Rahmatullah pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,” katanya.
Allahyarham memulakan kerjaya politik dengan menyertai UMNO pada tahun 1964 dan dilantik sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas, Seberang Perai Utara, pada 1978 — kerusi yang pernah diwakili ayahandanya.
Sejak 1981, Abdullah menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO dan pernah dipilih sebagai Naib Presiden parti itu pada tahun 1984, 1987, 1990 dan 1996. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 2000 hingga 2003.
Pada 1987, beliau dipecat daripada Kabinet kerana menyokong ‘Team B’ dalam pemilihan UMNO namun kembali dilantik sebagai Menteri pada 1991 dan seterusnya sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Dalam Negeri pada 1999.
Selepas perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima pada 31 Oktober 2003. Beliau turut memegang portfolio Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
Ketika menerajui negara, Abdullah memperkenalkan gagasan Islam Hadhari yang menekankan kesepadanan antara pembangunan teknologi dan ekonomi dengan ajaran Islam.
Pada 2009, beliau tidak menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO bagi memberi laluan kepada penggantinya sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri keenam Malaysia.-SAHIH