PEMUDA UMNO TOLAK ANWAR
PEMUDA UMNO TOLAK ANWAR
KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menegaskan akan menolak sebarang kerjasama dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mahu pun mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP.
KETUA PEMUDA UMNO, DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata penolakan itu dibuat kerana tidak mahu menjadi sebahagian daripada usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada, yang menurutnya hanya bertujuan untuk memenuhi cita-cita ahli Parlimen Port Dickson itu untuk menjadi Perdana Menteri.
“(Pemuda UMNO) menolak sebarang kerjasama dengan Anwar mahupun parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, hanya bertujuan memenuhi hasrat beliau menjadi perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya hari ini, lapor Malaysiakini.
Jelas Asyraf berkata ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO yang bermesyuarat secara dalam talian malam tadi.
“Mesyuarat juga memutuskan menyokong gencatan politik sebagaimana yang disarankan presiden UMNO.
“Ia sekali gus dihentikan segera sebarang polemik perebutan kuasa di saat rakyat susah dan gelisah mengharungi cabaran Pandemik COVID-19 termasuk natijah kegawatan ekonomi yang melanda,” katanya.
Kenyataan itu hadir selepas semalam, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gencatan politik susulan COVID-19 dan menegaskan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
PRESIDEN UMNO, DR AHMAD ZAHID HAMIDI
Ahmad Zahid berkata, UMNO juga mendukung kerajaan PN dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara.
Dalam kenyataan sama, Asyraf Wajdi mendesak agar kerajaan segera menyediakan Pelan Tindakan Khas (Blueprint) untuk menangani kemelut 2.4 juta rakyat yang bakal kehilangan pekerjaan.
“Pemuda UMNO juga menyarankan kerajaan melanjutkan moratorium secara pukal sekurang-kurangnya bagi tempoh 3 bulan lagi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Pemuda UMNO turut memohon Kerajaan mempertimbangkan bantuan tambahan RM1,000 setiap penerima BPN Sabah yang cuma menelan kos RM737 juta.
“Ini jauh lebih pantas dan berkesan berbanding hantaran bantuan bakul makanan yang dirumitkan oleh masalah logistik dan rekod penerima yang tidak lengkap,” katanya.