Seorang mangsa yang cedera dihempap pokok meninggal dunia di Hospital Lipis.
Foto : Anggota BBP Lipis memberi bantuan awal kepada mangsa yang terlibat sebelum dibawa ke Hospital Lipis.
Seorang mangsa yang cedera dihempap pokok meninggal dunia di Hospital Lipis.
LIPIS : Seorang daripada dua yang cedera parah dihempap pokok ketika berkhemah di Lubuk Beriang, Kampung Pagar Sasak, Padang Tengku, dekat sini meninggal dunia pada jam 1.31 tengah hari, semalam.
Mangsa yang meninggal dunia, Mohd Azliana Alias, 54 tahun yang beralamat di Teras Jernang, Selangor disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Lipis disebabkan mengalami pelbagai kecederaan ( polytrauma ).
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, mangsa yang meninggal dunia bertugas sebagai penjaga setor di Warehouse Pharmaniaga Manufacturing Berhad Bandar Baru Bangi Selangor.
“Manakala seorang lagi mangsa lelaki yang cedera berusia 44 tahun dari Kampung Yain, Kechau dekat sini turut cedera parah dan patah bahagian kaki kanan dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama.
“Kedua-dua mangsa bersama lima orang lagi yang datang dari Lembah Kelang turut berkhemah dan bermalam untuk memancing di sungai di situ sejak hari Jumaat,” katanya.
Ismail berkata, kejadian pokok tumbang itu berlaku kira-kira jam 7.00 pagi di kawasan perkhemahan mereka ekoran hujan lebat turun malam sebelumnya.
“Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis dengan bantuan penduduk kampung telah berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa dalam situasi yang sangat sukar kerana keadaan jalan berhutan dan berlumpur yang jaraknya antara tempat kejadian dengan jalan utama dianggarkan sejauh 5 kilometer pada jam 11.45 pagi.
“Kawasan kejadian merupakan kawasan sungai atau lata yang juga sebagai tempat aktiviti penduduk kampung mencari ikan serta tempat perkhemahan,” katanya. -SAHIH.