SPIDERMAN JUAL DURIAN KAMPUNG
SPIDERMAN JUAL DURIAN KAMPUNG
KUANTAN: Kemunculan Spiderman menjaja durian di tepi jalan berdekatan stesen minyak Gambang pasti menarik perhatian pengguna jalan raya di laluan itu sejak empat hari lalu yang ditularkan di media sosial dan menjadi bualan umum.
Penjaja durian kampung yang dibawa terus dari Kampung Ulu Cheka, Jerantut memperagakan kostum Spiderman yang popular di kalangan kanak-kanak turut menarik perhatian pengguna untuk berhenti.
Penjaja itu, Mohd Rafiq Rosli, 33, berkata ada pengguna jalan raya berhenti selain membeli durian turut mengambil peluang bergambar terutama kanak-kanak.
“Malah ada penduduk tempatan berdekatan Gambang yang ternampak kelibat saya sanggup mengambil anaknya di rumah dan datang semula ke tempat saya menjaja sekadar untuk bergambar sahaja.
“Seronok juga, sambil berniaga, Spiderman durian boleh bergambar kerana saya memang berminat dengan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Bapa kepada dua orang anak itu, mempunyai tiga pasang kostum iaitu Captain America, Ultraman dan Spiderman yang dibeli sendiri dan menggunakannya mengikut majlis atau program yang terbabit.
Katanya, pendekatan memakai kostum itu sekadar memeriahkan suasana ketika musim durian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan dia tak dapat menjual aiskrim.
“Hampir tiga bulan saya tidak berniaga samada di pasar malam, pekan sehari atau majlis, oleh itu saya bersama kawan berpakat menjual durian di kawasan Gambang kerana kurang persaingan,” katanya.
Manakala rakannya, Mohd Razif Ahmad, berkata dia mengambil keputusan menjual durian di kawasan Gambang kerana di bandar Jerantut sudah ada puluhan penjual dan penjaja durian.
“Kami sanggup membawa sehingga 300 kilogram durian kampung ke Gambang yang jaraknya hampir 400 kilometer dan kadang-kadang dalam perjalanan balik kami singgah menjual baki durian di kawasan Temerloh dan Mentakab.
“Spiderman juga menjadi tarikan pembeli kerana mereka (pembeli) nampak ada kelainan dalam cara kami buat promosi,” katanya.
Katanya, mereka tidak mampu menjual durian klon seperti Musang King, IOI, Tok Lituk , Duri Hitam dan D24 kerana memerlukan modal yang besar.