COVID-19 MUNGKIN PUNCA JADI PELACUR
KUALA LUMPUR: Terdapat segelintir golongan selebriti dibayar antara RM20,000 hingga RM40,000 satu malam dalam sindiket pelacuran kelas atasan.
Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) mengakui dalam situasi COVID-19, ditambah dengan peluang kerja terhad mengakibatkan segelintir selebriti membabitkan diri dalam sindiket pelacuran kelas atasan.
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata, golongan terbabit cuba mencari kemewahan secara mudah terutama untuk dipamerkan di media sosial.
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi
“Sebabnya sekarang cabaran kita ialah media sosial. Mereka menggunakan media sosial untuk menunjukkan kemewahan yang tidak setara dengan pendapatan mereka.
“Ia sekali gus menunjukkan yang mereka mungkin terbabit dengan perkara itu. Apa yang kita bimbangkan adalah hanya disebabkan segelintir selebriti, ia boleh mencemarkan imej industri hiburan tanah air,” katanya dipetik Harian Metro.
Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan terdapat segelintir selebriti terbabit skandal seks dengan bayaran antara RM20,000 hingga mencecah RM40,000 untuk satu malam.
Tidak terkecuali, segelintir Instafamous (selebriti Instagram) turut disyaki terbabit menggadai maruah untuk mendapatkan duit mudah.
gambar hiasan
Zed atau nama penuhnya Rozaidi Abd Jamil berkata, SENIMAN sedia berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pihak berkuasa untuk mengekang jenayah terbabit.
“Sekiranya, berdasarkan dokumen penyiasatan membuktikan selebriti itu terbabit dan bersalah, ada kemungkinan kami boleh menyenarai hitamkan mereka,” katanya.
Zed berkata, SENIMAN bukan saja tegas membanteras isu pelacuran tetapi juga membabitkan isu pengubahan wang haram, rasuah, jenayah dan lain-lain kesalahan jenayah berat membabitkan golongan selebriti.
Sumber: Malaysiakini