Hanya prestasi boleh atasi persepsi
Hanya prestasi boleh atasi persepsi
BENTONG – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pelangai pada 7 Oktober lalu masih belum cukup untuk mengatasi permainan persepsi dilakukan pembangkang.
Walaupun kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) itu membuktikan ‘Gelombang Hijau’ tidak diterima baik di Pahang, namun kesan ‘perang saraf’ oleh jentera parti gabungan Perikatan Nasional (PN) agak merisaukan wakil rakyat Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.
“Saya risau kesan jangka panjang permainan persepsi oleh mereka.
“Macam isu FELDA ini bukanlah kata kita tidak memenangi hati mereka, isunya fitnah terlalu banyak.
“Dan pihak mereka ini masuk rumah menaburkan fitnah, menaburkan persepsi, ini yang berlaku,” katanya ketika ditanya mengenai pola pengundian penduduk di tiga FELDA dalam Pelangai pada PRK baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun mengakui agak terkejut dengan sambutan diterima daripada pengundi muda yang sebelum ini dikatakan kononnya lebih cenderung menyokong PN.
Katanya, ia adalah hasil usaha berpanjangan jentera Pemuda UMNO dan rakan dalam Kerajaan Perpaduan menyantuni golongan itu.
“Memang ada segelintir anak muda yang duduk di luar (Pelangai) cuba mempengaruhi ibu bapa mereka, cuma apa yang kita nampak, sokongan anak muda ini sudah mula kembali kepada UMNO,” katanya.
Amizar juga meletakkan sasaran untuk mematahkan persepsi yang disebarkan pembangkang ketika PRK dengan prestasi sepanjang perkhidmatannya sebagai ADUN kawasan itu.
Katanya, hanya melalui perancangan dan pelaksanaan secara sistematik dapat membantu meningkatkan semula keyakinan pengundi di kawasan itu menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Pada PRK Pelangai baru-baru ini, Amizar menang dengan majoriti 2,949 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
Kemenangan itu juga menyaksikan kerusi DUN Pelangai kekal milik BN sejak 1986.- SAHIH