Pantau Anak-anak Main Mercun Elak Kebakaran
Pantau Anak-anak Main Mercun Elak Kebakaran
KUANTAN – Ibu bapa perlu memantau anak mereka ketika bermain mercun bagi mengelak berlakunya kebakaran.
Walaupun kerajaan memberikan kebenaran bersyarat untuk penjualan mercun dan bunga api ketika musim perayaan, namun menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan ia tidak mendatangkan insiden tidak diingini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun berkata, keadaan cuaca ketika ini yang agak luar biasa boleh mencetuskan kebakaran tanpa pengawasan daripada ibu bapa atau penjaga.
“Sekarang memang musim cuaca yang luar biasa panas dan jika tidak dipantau, boleh mendatangkan bahaya seperti kebakaran dan ini kalau boleh kita cuba elakkan daripada berlaku.
“Begitu juga insiden tidak diingini yang lain, macam apa yang berlaku di tempat lain, ada yang cedera, putus tangan dan jari ketika bermain mercun, jadi kalau boleh kita tidak mahu perkara (kejadian) itu berlaku di sini,” katanya dalam sidang media di sini, petang semalam.
Terdahulu, Johari melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Raya Sempena Aidilfitri anjuran Bomba Pahang.
Turut hadir Pengarah Bomba Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani.
Johari turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika memandu sepanjang cuti perayaan Aidilfitri yang bermula Khamis ini.
“Sebelum ini banyak kemalangan dilaporkan berlaku setiap kali musim cuti perayaan, boleh dikatakan setiap tahun kita buat kempen tapi (kemalangan) tetap juga berlaku.
“Jadi kalau boleh tahun ini kadar kemalangan dapat dikurangkan dan kita lebih berwaspada apabila memandu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Wan Mohammad Zaidi memaklumkan jumlah laporan membabitkan kebakaran menunjukkan peningkatan sejak awal bulan Ramadan ini berikutan cuaca panas luar biasa.
“Walaupun kebanyakan kes (kebakaran) membabitkan kejadian kebakaran struktur atau bangunan, namun ada juga (laporan) kebakaran hutan akibat cuaca panas.
“Ini semua disebabkan pelbagai faktor, macam kebakaran bangunan, biasanya mempunyai kaitan dengan masalah pendawaian yang sudah lama – melebihi 10 tahun.
“Kita sentiasa mengingatkan pemilik bangunan supaya lebih peka dengan tahap keselamatan pendawaian di bangunan mereka dan melakukan pemeriksaan secara berjadual bagi memastikan ia berada dalam keadaan selamat,” katanya.-SAHIH.