60 anak yatim diraikan oleh firma guaman
60 anak yatim diraikan oleh firma guaman
JERANTUT – Firma Guaman Haris Salleh & Co meraikan seramai 60 anak yatim di majlis berbuka puasa di Laman Kaseh, di sini malam tadi.
Pengurusnya, Haris Salleh Hamzah berkata, agihan duit raya untuk anak yatim merupakan acara tahunan firma guamannya.
“Kami ingin berkongsi kegembiraan menyambut Syawal bersama anak-anak yatim saya seronok apabila bersama mereka,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.
Menurut beliau, menyantuni anak yatim merupakan satu program yang amat digalakkan dalam Islam dan mereka telah memilih 60 anak yatim dari beberapa buah sekolah sekitar daerah ini untuk menerima sumbangan.
Haris memberitahu, firma guamannya yang mula beroperasi pada 2008 di Kuala Lumpur kini mempunyai cawangan di daerah ini sejak 2015.-SAHIH.