Empat gerai dijilat api berdekatan pasar borong Jerantut
Empat gerai dijilat api berdekatan pasar borong Jerantut
JERANTUT – Empat buah gerai di Jalan Jerantut – Temerloh berdekatan Pasar Borong Jerantut dijilat api kira-kira pada jam 11.30 pagi.
Sebaris gerai 6 pintu itu menjual makanan dan minum termasuk kuih muih dan hanya 2 gerai berkeluasan kira-kira 6 meter x 12 meter (20 kaki x 40 kaki) terselamat.
Penolong Penguasa Bomba Jerantut, Mohd Zulkilfi Mohd Zainal berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut menerima panggilan pada jam 11.48 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.
“Kejadian melibatkan gerai makanan dan minuman itu sempat dipadamkan dan operasi selesai pada jam 1.10 petang.
“Tiada berlaku sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Katanya, BBP Jengka turut membantu dalam operasi pemadaman dengan seorang pegawai dan lima anggota.
Sementara itu, seorang saksi umum berkata, kejadian mula berlaku di gerai kedua dan terdapat seorang peniaga sedang memasak juadah berbuka puasa untuk dijual.
“Kejadian kebakaran sangat pantas sebab ketika kejadian cuaca sangat panas, sedikit berangin dan punca kebakaran tidak diketahui.
“Bersyukur, pihak bomba dapat memadamkan kebakaran dengan cepat dan dua gerai terselemat,” katanya.-SAHIH.