MARA tidak bercadang naikkan jumlah pinjaman dan biasiswa
LIPIS – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menyediakan peruntukan yang diluluskan oleh pihak kerajaan pada tahun semasa serta bilangan penerima penajaan biasiwa dan pinjaman yang melanjutkan pengajian di universiti tempatan dan luar negara.
Timbalan Menteri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ketika ini, MARA belum bercadang menambah penajaan dan pinjaman serta bilangan penerima dan jumlah biasiswa yang bakal diterima.
“Memang semua maklum, walaupun ada tekanan ekonomi peringkat global melibatkan kos pengajian semakin meningkat termasuk sara hidup pelajar di bawah tajaan Mara khususnya yang berada di luar nagara, tetapi kerajaan masih belum ada cadangan mengenai perkara ini
“Kalau kita (MARA) mempunyai kekuatan kewangan yang baik, jumlah pelajar yang ditaja akan ditambah untuk menerima biasiswa tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan setiap tahun bagi pelajar berkenaan yang mendapat penajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Mara Prihatin Ramadan di Dewan Bangunan UMNO Lipis, hari ini.
Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan wang zakat, bantuan persekolahan dan duit raya kepada kira-kira 500 orang pelajar dari keluarga B40, golongan asnaf yang sedang mengikuti pengajian di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), sekolah menengah dan sekolah rendah di Lipis.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri PadangTengku, Datuk Mustapa Long; Pengarah Mara Pahang, Soffian Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Nordin Ahmad dan Pegawai Pendidikan Lipis, Amin Nollah Lateh.
“Beberapa inisiatif Program Mara Prihatin untuk pelajar tempatan, pada tahun ini, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) telah mengeluarkan bantuan persekolahan kepada seramai 7,845 orang pelajar asnaf melibatkan peruntuk kewangan bernilai RM847,189 di seluruh negara.
“YPM turut memperuntukkan sebanyak RM115,000 untuk seramai 1,229 pelajar asnaf di Pahang, selain itu, Kolej Poly-Tech Mara ((KPTM) turut menyumbangkan wang zakat bernilai RM200,000 kepada seramai 1,000 orang penerima, iaitu pelajar keluarga B40 dan golongan asnaf,” katanya.
Katanya, usaha seperti ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga yang kurang berkemampuan khususnya menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.-SAHIH.