NGO bekas kakitangan kerajaan swasta harus jadi contoh
Foto atas: Dr Abdul Ghani turut turun padang untuk menyertai gotong-royong memasak bubur lambuk bersama-sama sukarelawan hospital berkenaan.
NGO bekas kakitangan kerajaan swasta harus jadi contoh
KAJANG – Sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kerja kebajikan seharusnya menjadi contoh yang baik terutama apabila mereka itu dalam kalangan bekas kakitangan kerajaan dan swasta yang sudah bersara.
Dalam keadaan usia yang sewajarnya sesuai untuk berehat namun mereka tetap bersemangat menabur bakti untuk masyarakat seperti menyertai aktiviti komuniti apabila diminta memberi kerjasama serta tenaga sokongan.
Pengarah Hospital Mesra Ibadah, Hospital Kajang, Selangor, Dr Abdul Ghani Abdul Jalil, berkata sikap sedemikian perlu dipraktikkan khusus kakitangan di hospital berkenaan kerana mampu menyemai budaya sihat dalam menyantuni masyarakat.
Menurutnya, dalam sibuk melaksanakan tugas seharian seharusnya sentiasa memiliki sikap bertoleransi dengan sesiapa sahaja, memberi layanan baik, mengukir senyuman dan sebagainya demi menzahirkan perkhidmatan terbaik yang sebahagian sedekah.
“Dalam bulan Ramadan yang mulia ini seharusnya mengambil keberkatan dengan melakukan tugas penuh bertanggungjawab serta memudahkan urusan mereka yang memerlukan khidmat kita pada setiap hari.
“Program ini menjadi acara tahunan NGO ini bukan setakat mengimarahkan Ramadan malah membudayakan konsep bersedekah selain mengeratkan hubungan ukhwah dalam kalangan kakitangan dengan sukarelawan terbabit,” katanya di Program Gotong-Royong Bubur Lambuk Ziarah Perdana di Lobi Taska Hospital Kajang, baru-baru ini.
Katanya, sebahagian sukarelawan itu pernah berkhidmat dengan hospital dan sudah pasti tidak dikenali kakitangan baharu dan dalam program itu peluang bagi mereka berkenalan.
“Ketepikan sikap pentingkan diri sendiri sebaliknya bersikap terbuka dengan menghormati mereka yang memiliki banyak pengalaman bagi membantu melahirkan perkhidmatan terbaik dan berkualiti untuk masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah, Hospital Kajang yang juga penyelaras program itu, Mohamad Fauzi Pilus, berkata program berkenaan merupakan tahun kesembilan diadakan dengan mendapat kerjasama dari kelab NGO terbabit.
Menurutnya, ahli NGO itu sentiasa memberi kerjasama yang baik dalam program berkenaan khusus bagi menyantuni pesakit , orang awam serta warga emas di pusat jagaan untuk menerima agihan bubur lambuk berkenaan.
“Bagi pesakit dalam wad apabila ada orang datang menziarah akan memberi suntikan motivasi kepada mereka untuk kembali ceria jika sebelum ini hanya terlantar di atas katil berseorangan.
“Program ini bagi sesetengah orang hanya perkara biasa tetapi mempunyai hikmah disebaliknya yang bukan setakat mengeratkan uhkuwah mereka yang terbabit tetapi juga mewujudkan suasana seronok dan gembira di hati pesakit apabila disantuni,” katanya.-SAHIH